Jika Anwar dan Tun M itu naratif lama, mengekalkan UMNO itu pula naratif baru?

Jika Anwar dan Tun M itu naratif lama, mengekalkan UMNO itu pula naratif baru?

Malaysia perlu beranjak daripada naratif politik lama yang berkisar tentang Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan.

Tegasnya, sejak sekian lama dua sosok ini mendominasi arena politik tanah air.
backup_ads

Oleh itu, menurut Shahril, ini masanya untuk memberi naratif baharu dengan memilih UMNO-Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan untuk penggal akan datang.

“Sejak saya kecil hingga hari ini, sudah tahun 2022, masih lagi tentang Mahathir-Anwar. Tak habis-habis tentang dua individu ini.

“Ini masanya untuk kita memulakan peralihan generasi itu,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Ujar Shahril, UMNO lebih terkehadapan untuk melakukan perubahan dengan menampilkan Naib Presidennya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

“Kita dalam BN menghadapankan Ismail Sabri. Beliau akan menjadi orang pertama yang mengakui bahawa beliau bukanlah seorang yang sempurna, tetapi akhirnya kita ada peluang untuk ‘move on’ daripada generasi ini.”

Ditanya apakah bezanya memandangkan UMNO tetap menampilkan calon muka lama dan bukannya pemimpin parti yang lebih muda, Shahril menegaskan, itu sahaja alternatif yang ada selain daripada dua sosok itu untuk ketika ini.

“Dari segi kadar ‘menyerahkan baton’ itu, kita boleh bahas, adakah patut ia lebih laju dan sebagainya.

“Tetapi dalam pilihan yang ada, adakah kita nak kembali kepada generasi dua orang yang dari waktu saya kecil lagi hingga hari ini masih dalam politik, dan masih lagi nak menjadi Perdana Menteri?” soalnya, memetik Awani.