Jika palsu, buka segera parlimen, luluskan usul undi tidak percaya

Jika palsu, buka segera parlimen, luluskan usul undi tidak percaya

Tindakan kerajaan mendapatkan pengisytiharan darurat kerana telah hilang majoriti di di Dewan Rakyat melanggar ordinan darurat berkenaan berita palsu, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan.

“Ia satu kesalahan, bagi saya ia satu kesalahan,” katanya ketika sidang media bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah di Putrajaya hari ini.

Takiyuddin berkata demikian ketika ditanya jika dakwaan sejumlah pihak yang kerajaan mendapatkan pengisytiharan darurat kerana ia telah hilang majoriti boleh dianggap sebagai berita palsu.

Sidang media itu diadakan bagi menjelaskan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 yang berkuat kuasa hari ini.

Ordinan itu untuk mengekang “berita tidak benar” berkenaan wabak Covid-19 dan proklamasi darurat yang membawa kepada hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pada 12 Jan lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengisytiharkan darurat atas nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pengisytiharan dibuat bagi mengekang peningkatan kes Covid-19. Ketika itu, terdapat sekitar 2,000 hingga 3,000 kes baru dilaporkan setiap hari.

Bagaimanapun, sejumlah pihak mengisytiharkan mengapa Parlimen turut digantung sepanjang tempoh penguatkuasaannya, lebih-lebih lagi setelah perniagaan dan sekolah telah diteruskan semula.

Pengisytiharan darurat dibuat dua hari selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat selepas Ahli Parlimen Machang daripada Umno, Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongannya.

Pada hari pengisytiharan pula, seorang lagi ahli Parlimen Umno Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas) turut mengambil langkah sama.

Bagaimanapun kerajaan telah mendapat sokongan dua ahli Parlimen PKR, iaitu Steven Choong dan Larry Sng, bagi menampung kehilangan sokongannya, selepas Sultan Abdullah bertitah yang Parlimen boleh bersidang ketika darurat.

Menurut Takiyuddin, Agong telah mengisytiharkan darurat atas nasihat jemaah menteri, dan ia adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Takiyuddin dan Saifuddin menegaskan di bawah ordinan ini, tujuan menyebarkan berita palsu mesti dibuktikan terlebih dahulu sebelum tertuduh boleh disabit bersalah.

Saifuddin turut memberi satu lagi contoh berita palsu yang boleh disabitkan, iaitu mendakwa ada individu yang mati selepas menerima vaksin Covid-19. – MK