Jika polis boleh soal siasat saya masa darurat, patut Parlimen juga boleh bersidang – Guan Eng

Jika polis boleh soal siasat saya masa darurat, patut Parlimen juga boleh bersidang – Guan Eng

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata siasatan polis terhadap beliau semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, menunjukkan tiada keperluan Parlimen digantung.

“Jika polis boleh bertekad untuk merekod kenyataan saya semasa PKP dan tempoh darurat, maka lebih banyak alasan lagi untuk membenarkan sidang Parlimen berfungsi secara biasa.

“Tiada sebab untuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggantung Parlimen dan melarang Parlimen bersidang,” kata beliau.

Guan Eng mengesahkan beliau disoal siasat polis di Pulau Pinang semalam, pada hari kedua PKP berkuat kuasa. Lim disoal siasat bawah Kanun Keseksaan berhubung dua kenyataan dibuatnya pada 2019.

Ahli Parlimen Bagan itu mempersoalkan mengapa polis tidak menyoal pemimpin PAS dan Perikatan Nasional semasa PKP, walaupun, menurutnya, mereka mengeluarkan pelbagai kenyataan berbaur perkauman.

“Banyak laporan polis telah dibuat terhadap mereka kerana mengeluarkan ungkapan berbaur perkauman dan pelampau agama.

“Namun, tiada sebarang perkembangan terhadap status laporan-laporan polis tersebut,” kata beliau.

Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengisytiharkan darurat hingga 1 Ogos ini atau lebih awal, jika jumlah kes harian Covid-19 dapat dikawal dan dikurangkan dengan berkesan.

Ia disusuli jaminan Muhyiddin bahawa perisytiharan darurat itu bukan rampasan kuasa dan aktiviti ekonomi akan berjalan seperti biasa, tetapi Parlimen serta semua Dewan Undangan Negeri digantung sehingga tempoh darurat berakhir.

Berita penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/15/jika-polis-boleh-soal-siasat-saya-semasa-pkp-patut-parlimen-boleh-bersidang-kata-guan-eng/