Jika tiada penipuan berlaku, kerajaan tidak perlu takut dedahkan perjanjian pembelian vaksin – Zaid Ibrahim

Jika tiada penipuan berlaku, kerajaan tidak perlu takut dedahkan perjanjian pembelian vaksin – Zaid Ibrahim

Seorang bekas menteri menggesa kerajaan bersikap telus dengan perjanjian pemerolehan vaksin kerana keterbukaan dapat mengurangkan keraguan bekalan dikuasai untuk mewujudkan monopoli.

Zaid Ibrahim, bekas menteri undang-undang, berkata Malaysia sedang bergelut dengan pandemik Covid-19, dengan hanya 4% penduduknya divaksin.

Katanya, kerajaan kini jelas dalam situasi yang sukar ditangani.

“Kekurangan ketelusan terhadap perjanjian vaksin menimbulkan kesangsian berhubung bekalan yang dikuasai untuk mewujudkan monopoli dan harga sangat tinggi. Ini sebabnya kerajaan perlu mendedahkan perjanjian yang ditandatangani dengan pengeluar.”

Beliau mempersoalkan syarat ditetapkan kerajaan persekutuan ketika mengumumkan kerajaan negeri dan hospital swasta boleh membeli vaksin pada 3 Jun lalu.

Katanya, syarat untuk mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) tidak perlu.

“Tidak perlu birokrasi tak berakal memandangkan pembeli berpotensi ialah negeri dan hospital yang sudah mempunyai lesen untuk menyediakan penjagaan kesihatan.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan badan kawal selia terkemuka dunia seperti Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) serta Agensi Perubatan Eropah (EMA) sudah meluluskan beberapa vaksin, termasuk yang dihasilkan Moderna, Sinopharm dan Johnson & Johnson untuk kegunaan kecemasan.

“Nilai tambah apa yang akan diberikan oleh kelulusan NPRA? Kenapa perlu membabitkan NPRA untuk kelulusan tambah baki jenama (vaksin) sedangkan WHO sudah meluluskannya dalam keadaan kecemasan?”

Zaid berkata, satu lagi syarat ialah kerajaan persekutuan akan mengekalkan keutamaan untuk vaksin yang sedang digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Walaupun beliau mengesyaki syarat itu bagi mengelakkan kerajaan perlu bersaing untuk mendapatkan bekalan vaksin, katanya, ia juga boleh menimbulkan keraguan rakyat disebabkan perjanjian vaksin yang tidak telus.

Beliau mempersoalkan jika negeri dan sektor swasta akan dibenarkan berunding secara bebas dan menempah vaksin terus daripada pengeluar atau sama ada mereka perlu melakukannya melalui Pharmaniaga atau orang tengah lain.

“Jika semua jenama vaksin sudah diluluskan NPRA, adakah kerajaan akan meluluskan pengimportan vaksin oleh syarikat swasta secara komersial?

“Kerajaan tidak patut monopoli atau mengawal bekalan vaksin ini apabila sektor swasta boleh membelinya secara komersial untuk mereka yang sedia membayar.

“Kerajaan boleh memfokuskan peranannya untuk memastikan B40 dan mereka yang tidak mampu membayar divaksinkan. Dengan berbuat demikian, kadar vaksinasi boleh dipercepatkan.”

Zaid turut mempersoalkan kenapa kerajaan nampaknya mengehadkan tiga vaksin di bawah PICK.

“Jika vaksin lebih berkesan muncul dan sektor swasta mampu mendapatkan bekalannya, adakah kerajaan sedia menghalang dirinya atau adakah akan ada satu lagi pusingan U?”

Beliau bimbang dengan kerenah birokrasi yang akan menyebabkan harga vaksin diperoleh negeri dan sektor swasta meningkat.

Syarat dicadangkan Putrajaya, katanya, akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan.

“Kita perlu melihat rancangan komprehensif dirangka, bukan cantuman pemikiran keliru.”

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/07/telus-mengenai-perjanjian-vaksin-kata-zaid/