Jika Umno berprinsip, letak jawatan dalam kerajaan, cabar Guan Eng
Umno kini dilihat berperanan seperti pembangkang, kata Lim Guan Eng, namun parti itu tetap tidak akan dilihat berprinsip selagi kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut setiausaha agung DAP itu lagi di pihak PN pula sepatutnya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertindak balas atas apa yang dilakukan Umno ke atas Bersatu.
“Sekiranya Umno parti yang berprinsip, mereka pasti sudah meninggalkan kerajaan, atau Muhyiddin memecat Umno kerana melawan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan apa yang berlaku sekarang, kata Lim lagi, ia juga menunjukkan Muhyiddin berada dalam keadaan tersepit dan tidak mempunyai pilihan lain kecuali terus bergantung kepada Umno.
“Namun, hakikat bahawa Umno masih kekal dalam kerajaan menunjukkan fakta jelas iaitu Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoritinya di parlimen dan dia memerlukan Umno demi mengekalkan kuasanya yang lemah,” tambah ahli parlimen Bagan itu lagi.
Dalam keadaan sokongan yang ada pada Muhyiddin terus diragui, beberapa pemimpin kanan Umno dilihat giat mengkritik kerajaan atau Bersatu – parti yang dipimpin ahli parlimen Pagoh itu – dalam beberapa isu seperti pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Ia kemudian dihangatkan lagi dengan dakwaan dibuat bekas setiausaha agung BN Annuar Musa mengenai tindakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberikan sokongan secara hitam putih kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.
Annuar juga mendakwa ada pihak dalam Umno sedang cuba menjalin kerjasama dengan DAP bagi menjatuhkan PN.
Turut menarik perhatian ramai ialah desakan akar umbi Umno agar parti itu memutuskan kerjasama dengan Bersatu di sebalik hakikat kedua-dua parti kini menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Desakan itu akan diputuskan dalam perhimpunan agung Umno yang dijadual diadakan di Kuala Lumpur pada 31 Jan ini. Kelangsungan perhimpunan itu turut menarik perhatian ramai ketika kes baru Covid-19 menunjukkan peningkatan ketara sehari dua ini.
Kata Lim serangan Umno ke atas PN dilakukan dengan ketara oleh ramai pemimpin kanan parti itu termasuk bekas perdana menteri Najib Razak.
Namun dalam keadaan begitu pun, katanya, Umno masih kekal bersama kerajaan yang diterajui BN.
“Kemunafikan kritikan Umno terhadap ketidakcekapan, penyalahgunaan kuasa, amalan rasuah, janji-janji yang dimungkiri dan kesan buruk “u-turn” dasar kerajaan PN jelas bukan bertujuan untuk memperbaiki kegagalan, sebaliknya hanya untuk memaksa agar pilihan raya umum awal diadakan tanpa mengira krisis Covid-19,” katanya.