Jom kita kenali manusia paling kotor di dunia, tapi kekal sihat tiada penyakit
Gara-gara takutkan air dan terlalu percaya kononnya mandi boleh mendatangkan penyakit kepadanya, seorang warga emas di Dejgah, Kermanshah, Iran memilih untuk menjalani kehidupan tanpa mandi selama 67 tahun.
Sepanjang tempoh itu juga Amou Haji, 88, yang hidup memencilkan diri turut menghabiskan sebahagian besar masanya di dalam sebuah pondok yang dibina hasil ihsan penduduk setempat yang simpati dengannya dan ada kalanya dia turut tinggal di dalam lubang yang lebih menyerupai sebuah kubur seperti yang dilaporkan Tehran Times.
Disebabkan terlalu lama tidak mandi, beberapa bahagian kulitnya menjadi keras dilitupi debu dan kotoran sementara beberapa bahagian tubuhnya yang lain bertukar menjadi kehitaman seperti terpalit arang.
Amou Haji yang sering dilihat memakai baju lengan pendek serta seluar pendek lusuh kadang-kadang mengenakan topi perang askar bagi menghangatkan diri pada musim sejuk dikatakan mengambil keputusan untuk mengasingan diri lantaran mengalami masalah emosi ketika usia mudanya.
Dia yang juga merupakan seorang perokok tegar sering memakan daging mentah bangkai haiwan seperti landak dan arnab selain meminum air dari lopak yang tidak dimasak.
Biar pun tidak menjaga kebersihan diri, namun Amou mengamalkan minum jumlah air yang banyak sehingga lima liter sehari kerana percaya minum air yang banyak merupakan amalan yang baik dan mampu membuatnya kekal sihat.
Walaupun menjalani kehidupan yang luar biasa tanpa menguruskan diri dengan sempurna, namun rambut Amou tidak pernah dibiarkan menjadi terlalu panjang kerana dia sering ‘mengunting’ rambutnya sendiri dengan cara membakarnya.
Warga emas yang mendapat jolokan sebagai ‘manusia paling kotor di dunia’ ini selain menghisap rokok yang diberikan oleh orang ramai dia juga sering menghisap rokok menggunakan sisa paip yang berkarat yang kotor diisi dengan sisa haiwan yang telah kering bagi mengantikan tembakau.
Anehnya, meski pun tidak menjaga kebersihan serta hidup dalam persekitaran yang kotor untuk tempoh yang begitu lama, namun Amou tidak pernah jatuh sakit serta berada dalam keadaan kesihatan yang baik.
Situasi tersebut turut mengejutkan pasukan perubatan dari sebuah Sekolah Kesihatan Masyarakat di Tehran yang diketuai Dr. Gholamreza Molawi yang mengunjunginya untuk menjalankan beberapa ujian kesihatan.
Hasil ujian kesihatan yang dijalankan termasuk ujian hepatitis, AIDS serta pengesanan parasit tidak menemukan sebarang parasit serta bakteria di tubuh Amou kecuali Trichinosis.