JPJ ubah waktu operasi di UTC, ujian rintis dari Januari hingga Jun 2023

JPJ ubah waktu operasi di UTC, ujian rintis dari Januari hingga Jun 2023

 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan perubahan waktu operasi untuk kaunternya di beberapa cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) terpilih di seluruh Malaysia. JPJ berkata perubahan waktu operasi berkenaan masih dalam ujian percubaan yang dilaksanakan sejak 1 Januari hingga 30 Jun 2023.

Pada Jun tahun lalu, JPJ telah mengumumkan kaunternya di UTC cawangan Semenanjung beroperasi dari jam 8 pagi hingga 9 malam pada hari biasa, sementara di Malaysia Timur pula dari jam 8 pagi hingga 7 malam. Pada hujung minggu pula, waktu operasinya dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Kini, waktu operasinya untuk hari biasa dipendekkan. Bermula kini hingga 30 Jun, waktu operasi JPJ di UTC di Johor Bahru, Pasir Gudang, Sungai Petani dan Kota Bharu akan dikurangkan empat jam, iaitu beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang untuk setiap Isnin hingga Rabu. Ia akan kembali beroperasi dari jam 8 pagi hingga 9 malam untuk Ahad dan Khamis.

Manakala untuk pusat UTC di Sentul, Seremban, Ipoh dan Kuantan, kaunter JPJ melaksanakan waktu pendek yang sama untuk hari Selasa hingga Khamis, sementara cawangan JPJ di UTC Kangar pula setiap Selasa hingga Jumaat.

Bagi kaunter JPJ di UTC Tawau, Keningau, Sibu dan Miri, waktu operasinya dipendekkan dari hari Selasa hingga Jumaat. Jika anda mempunyai sebarang urusan berkaitan, sila rujuk jadual di atas untuk waktu operasi kaunter JPJ di cawangan UTC terpilih.