Jual ‘coin’ khas dengan harga lebih murah di Shopee, pengusaha dobi bakal berdepan kerugian besar

Jual ‘coin’ khas dengan harga lebih murah di Shopee, pengusaha dobi bakal berdepan kerugian besar

 

Sejak beberapa tahun terakhir ini, dapat dilihat orang ramai semakin selesa menggunakan perkhidmatan dobi layan diri sekaligus meningkatkan jumlah peniaga yang menawarkan servis ini. Menawarkan servis basuh serta kering dalam tempoh yang singkat serta mempunyai saiz mesin yang besar antara yang memudahkan tugas pengguna.

Di sebalik modal dan usaha yang banyak diperlukan dalam membangunkan bisnes dobi layan diri melibatkan pembelian mesin dan sebagainya, tular baru-baru ini menerusi perkongsian Twitter @SyedAkramin apabila terdapat individu yang menjual coin atau token dobi layan diri menerusi laman Shopee.

Penularan penggunaan token dobi yang dijual dengan harga yang lebih rendah berbanding di dobi ini secara tidak langsung bakal memberi kerugian buat pemilik dobi layan diri sekiranya diguna secara meluas oleh pengguna tidak bertanggungjawab.

Perkongsian yang dilakukan lelaki ini turut mendapat pelbagai respon di kalangan netizen di mana rata-ratanya tidak bersetuju sekiranya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan di dobi dengan cara yang ‘jimat’ dan salah.

Berdasarkan semakan di laman Shopee, bukan hanya token atau coin melibatkan mesin dobi layan diri sahaja ditawarkan, malah mesin air, arcade dan sebagainya antara yang turut ditawarkan bersama.

Bagi mengelakkan isu ini berterusan, mungkin pemilik perlu menawarkan pembayaran secara kod QR dalam membayar secara cashless.

Sehubungan dengan itu, meskipun penjualan token dobi ini tidak dapat dihalang serta dikhususkan buat peniaga dobi layan diri, diharapkan orang ramai tidak salah guna token dobi yang ditawarkan bagi mengelakkan daripada berlaku penipuan serta menzalimi pemilik dobi.