Juara rokok seludup, pendedahan pelawak Harith Iskandar memalukan negara

Juara rokok seludup, pendedahan pelawak Harith Iskandar memalukan negara

Pelawak terkenal tanahair baru-baru ini mengeluarkan satu kenyataan menggemparkan baru-baru ini apabila mendakwa Malaysia sebagai destinasi paling popular melibatkan industri penjualan rokok seludup dunia.

“Adakah kalian tahu bahawa kita adalah juara dunia? Malaysia berada di ranking nombor satu di dunia dalam penjualan rokok seludup, soalnya di dalam satu video yang dinaikkan di laman Instagram miliknya.

“Kira-kira 60 peratus rokok seludup di negara ini yang bermakna enam daripada 10 kotak rokok dijual di Malaysia adalah rokok seludup.

“Adakah kalian tahu negara mana yang berada di tangga kedua? Brazil dengan peratusan rokok seludup sebanyak 50 peratus,” kata Harith.

Malaysia mungkin tidak mampu menundukkan Brazil dalam sukan nombor satu dunia, bola sepak, namun kita adalah juara dunia dalam penjualan rokok seludup sekali gus meletakkan negara samba itu di tangga kedua.

“Kita nombor satu. Kita mungkin tak boleh tewaskan Brazil dalam sukan bola sepak tapi apabila kita jumpa orang Brazil, kita boleh cakap ‘brother, illegal cigarettes champion brother’, ” ujarnya dengan nada sarkastik dalam muat naik video berkenaan.

Kata suami kepada Jezamine Lim itu, data berkenaan diperoleh daripada satu laporan yang dijalankan Oxford Economics berjudul ‘The Economics of the Illicit Tobacco Trade in Malaysia’.

Dalam pada itu kata Harith, perkara yang menyebabkan situasi itu berlaku di negara ini adalah disebabkan permintaan yang tinggi.

“Disebabkan adanya permintaan (demand), maka adanya pembekalan (supply). Jadi, disebabkan itu kita juara dunia, sekurang-kurangnya dalam penjualan rokok seludup.

“Adakah kita bangga dengan semua ini? Perdebatan bergantung pada kalian semua,” katanya seraya turut menyenaraikan perkara lain yang menyebabkan perkembangan tidak sihat yang menjurus ke arah perniagaan tidak sah iaitu black market (pasar gelap).

Namun begitu, melalui semakan kami, pendedahan Harith itu bukanlah pendedahan pertama yang dibuat di negara ini.

Berita Harian setahun yang lepas pernah melaporkan perkara yang sama. Dalam laporan akhbar berkenaan, Ketua Kanan Penyelidikan Tembakau Euromonitor International, Shane MacGuill pernah mengeluarkan kenyataan bahawa hampir 65 peratus atau dua pertiga daripada keseluruhan pasaran tembakau di Malaysia adalah rokok tidak sah pada 2019.

Beliau berkata, daripada ratusan pasaran yang diteliti Euromonitor International di seluruh dunia, hanya 10 pasaran tembakau memiliki tahap perdagangan rokok seludup melebihi 30 peratus dan daripada jumlah itu, Malaysia adalah negara yang tertinggi dan kelapan terbesar di dunia dari segi jumlah rokok seludup.

“Tiada pasaran lain yang dapat menyaingi atau menghampiri Malaysia, kerana pasaran rokok seludup terbesar seterusnya ialah Brazil yang kami anggarkan kira-kira 50 peratus daripada pasaran.

Apa yang menimbulkan tandatanya dikalangan rakyat negara ini, sejauh mana keberkesanan tindakan penguatkuasaan pihak terlibat terutamanya penjaga sempadan negara ini benar-benar dilihat bersungguh-sungguh dalam mengekang perbuatan tidak bertanggungjawab ini?

Atau sememangnya pihak yang diamanahkan menjaga kedaulatan tanah air kita sememangnya telah dikuasai oleh sindiket-sindiket penyeludupan ini sehingga membolehkan mereka bergerak aktif keluat masuk menghantar bekalan tanpa diambil tindakan.