Jumlah jutawan muda bawah umur 30 tahun di Malaysia semakin meningkat

Jumlah jutawan muda bawah umur 30 tahun di Malaysia semakin meningkat

 

Bilangan jutawan muda di Malaysia dilapor semakin meningkat, dengan peningkatan 75 peratus membabitkan jutawan berumur 30 tahun ke bawah setakat tahun 2022.

Lapor News Straits Times, angka daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menunjukkan bahawa 35 orang berumur bawah 30 tahun telah mengisytiharkan pendapatan mereka melebihi RM1 juta.

Ini menandakan peningkatan mendadak daripada 20 orang pada tahun sebelumnya.

LHDN berkata badan cukai itu telah merekodkan bilangan jutawan muda yang stabil, dengan sekurang-kurangnya 20 orang muda mengisytiharkan pendapatan sekurang-kurangnya RM1 juta setiap tahun sejak 2018.

“Bagaimanapun, kami masih belum menjadualkan angka untuk 2023 memandangkan proses e-filing bagi tahun itu masih berjalan,” katanya seperti dilapor.

Ia juga berkata bahawa lebih 94 peratus pembayar cukai di bawah umur 30 tahun yang berpendapatan lebih RM1 juta tidak mencatatkan sebarang baki cukai tertunggak pada tahun antara 2018 dan 2021.

“Bagaimanapun, penilaian tahap pematuhan pembayar cukai perlu mengambil kira termasuk penyerahan borang pengisytiharan cukai pendapatan setiap tahun, pematuhan arahan pembayaran ansuran dan baki cukai, serta memastikan pengisytiharan cukai dibuat dengan betul dan tepat,” katanya.

LHDN berkata setiap individu, termasuk pempengaruh media sosial yang jumlah pendapatan bercukai melebihi nilai ambang, mesti mendaftar untuk fail cukai pendapatan.

Individu yang memperoleh pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 dan mempunyai Potongan Cukai Bulanan (PCB) layak dikenakan cukai.