Jurutera Malaysia bidas sikap berdiam diri Khairy, Saifuddin

Jurutera Malaysia bidas sikap berdiam diri Khairy, Saifuddin

Penerima vaksin premier Sinovac negara ini keliru dan buntu selepas berdepan birokrasi untuk berlepas ke negara Kesatuan Eropah (EU) walaupun atas urusan kerja.

Lebih mengecewakan apabila kes-kes seperti itu walaupun sudah tersebar beberapa hari lalu namun kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar Negeri masih ‘mendiamkan diri’.

Kerajaan sepatutnya tampil menjelaskan jalan penyelesaian bagi merungkai masalah individu yang perlu melakukan perjalanan ke negara-negara tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang jurutera, Khairul Wir, 30, berkata, dia yang dijadual perlu ke Jerman sekitar Mei nanti menjadi kelam-kabut apabila negara itu enggan menerima vaksin premier Sinovac.

Sejak kelmarin, dia sudah berpuluh kali menghubungi Kedutaan Jerman di ibu negara bagi mendapat penjelasan mengenai prosedur negara itu bagi membolehkan rakyat Malaysia masuk ke Jerman terutama atas urusan kerja.

Bagaimanapun, menurut beliau, setakat petang semalam komunikasinya dengan staf kedutaan Jerman terus kabur kerana mereka memintanya memuat naik borang khas permohonan khas ke Jerman.

“Borang khas kepada penerima Sinovac perlu dimuat turun dan diisi secara dalam talian namun masalahnya saya tidak jumpa borang seperti yang diarahkan,” ceritanya.

Khairul Wir memberitahu, mengikut pemahamannya, Jerman membenarkan kemasukan penerima vaksin Sinovac yang mempunyai urusan pekerjaan, kecemasan atau perniagaan tetapi perlu mengisi borang khas menerusi portal kedutaan tersebut.

“Malangnya saya beratus kali cuba mencari borang tersebut tetapi gagal menemuinya manakala kakitangan kedutaan tidak `mesra’ melayan’ aduan masalah saya.

“Staf kedutaan itu hanya mengulangi bahawa peluang untuk ke negara tersebut atas tiket pelancong tidak dibenarkan bagi penerima vaksin jenis Sinovac,” katanya

Tambahnya, borang yang perlu diisi hanya untuk membantu permohonan ke Jerman kemudian perlu ditunjukkan kepada polis dan imigresen Jerman setelah tiba di sana.

“Ia terpulang kepada polis dan imigresen di sana untuk membenarkan penerima Sinovac masuk atau tidak. Peratusan untuk masuk juga 50-50 kerana kedutaan tiada kuasa membenarkan dan hanya boleh memberi borang ini,” katanya.

Susulan itu, Khairul kini sedang cuba mendapatkan wakil syarikatnya di Jerman bagi membuat pengesahan dengan pihak imigresen menerusi surat jemputan urusan kerja dari negara berkenaan.

“Dalam borang tersebut ada dinyatakan alasan untuk ke Jerman dan mungkin boleh memilih cara lain selain memasuki Jerman sama ada menunda urusan berkenaan atau dibuat secara dalam talian,” katanya.

Dua rakyat Malaysia sebelum itu berdepan pengalaman pahit ditahan 28 jam di lapangan terbang antarabangsa Dusseldorf selepas dihalau imigresen Jerman kerana direkodkan menerima vaksin dos Coronovac buatan China.

EU menerusi Agensi Perubatan Eropah (EMA) tidak pernah memperakui vaksin keluaran Sinovac Biotech kecuali lima jenama tertentu dengan paling baharu ialah Novovax.

Dua rakyat Malaysia itu sudah menerima dos penggalak Corminaty dihasilkan syarikat Pfizer dan selamat tiba di tanah air selepas menempuh perjalanan lebih 15 jam.