Kadir dakwa Belanjawan 2021 “Lebih indah khabar daripada rupa”

Kadir dakwa Belanjawan 2021 “Lebih indah khabar daripada rupa”

Daripada carta ringkas peruntukan Belanjawan 2021 yang dilampirkan oleh Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking (di bawah) ini, kita sudah boleh agak apa sebebarnya yang tersurat dan tersirat dalam belanjawan kerajaan Perikatan Nasional yang dibentangkan semalam.

Amat nyata bahawa propaganda mengenai belanjawan Tengku Zafrul Abdul Aziz itu adalah lebih indah khabar daripada rupa.

Saya tidaklah mahu menyifatkannya sebagai “hogwash” (merapu) tapi banyak hujah, perangkaan dan unjuran boleh dipertikaikan atau setidak-tidaknya pun menuntut penjelasan.

Jadi adalah menjadi tanggungjawab Ahli Dewan Rakyat menyemak dan membuat pindaan kepada peruntukan dan unjuran yang bercanggah atau tidak tepat sebelum terbaru-buru meluluskannya.

Daripada carta pemotongan peruntukan untuk sebahagian keperluan Kementerian Kesihatan ini saja kita boleh nampak omong kosong kerajaan PN atau tipu-helahnya.

Bercakap lantang mengenai kesihatan rakyat jelata dan memerangi Covid-19. Tapi peruntukan untuk penyakit biasa dipotong antara sembilan peratus hingga 77 peratus.

‘Terkutuk persenda nyawa rakyat’

Nampak seolah-olah kerajaan PN hendak menyelamatkan rakyat jelata daripada Covid-19 tapi dalam masa sama seakan ‘membiarkan mereka mati’ kerana kencing manis, sakit jantung, barah dan penyakit pernafasan.

Sudahlah rakyat jelata yang menderita penyakit-penyakit berkenaan amat terdedah kepada Covid-19, mengurangkan peruntukan rawatan mereka atau menyukarkan akses mereka kepada rawatan samalah dengan menyerahkan mereka kepada Covid-19.

Atau Tengku Zafrul sengaja bermain dengan perakaunan kreatif untuk memberi gambaran bahawa peruntukan pembangunan telah ditambah dengan banyaknya dengan mengubah peruntukan mengurus menjadi peruntukan pembangunan.

Dalam apa keadaan dan untuk apa tujuan sekalipun adalah terkutuk bagi mana-mana kerajaan mempersenda dan mempermainkan nyawa serta keselamatan rakyat jelata.

Saya tak faham macam mana Tengku Zafrul membuat anggaran pungutan cukai pendapatan tahun 2021 akan naik kepada RM42.4 bilion daripada RM35.9 bilion tahun ini dan RM38.7 bilion tahun 2018 sedangkan ekonomi merudum dan ramai orang hilang punca pendapatan.

Tak tahulah kalau tunggakan cukai Najib anak beranak boleh menampung kekurangan ini.

Kemudian dia meramalkan cukai korporat sebanyak RM64.60 bilion atau RM1 bilion lebih tinggi daripada tahun 2019. Satu dunia meramalkan kejatuhan pungutan cukai korporat tapi Tengku Zafrul kata kutipan Malaysia akan bertambah.

Ahli parlimen perlu menggesa kerajaan supaya segera membuka pintu pelaburan dan pelancong secara terpilih untuk menggerakkan semula ekonomi dengan memudahkan kemasukan pelabur, pengurus tabung pelaburan dan eksekutif korporat serta pelancong dari negara-negara yang sudah bersih Covid-19.


A KADIR JASIN merupakan tokoh wartawan dan pernah menjadi penasihat media Dr Mahathir Mohamad.

Tulisan ini pertama kali diterbitkan di Facebook miliknya. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Sumber: Malaysiakini