Kagum dakwa pemimpin Dap tidak prihatin dengan penderitaan rakyat
Teresa Kok didakwa tidak prihatin dengan penderitaan rakyat apabila menyifatkan langkah menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai kawasan bebas berniaga dikatakan mendatangkan berbahaya dan menggalakkan orang ramai melanggar peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu mengejutkan memandangkan beliau mewakili rakyat di kawasan tengah-tengah bandar.
Kelab Jaringan Naib-Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia (Kagum) mendakwa, kenyataan dan pandangan ini jelas menunjukkan kurangnya sifat perikemanusian DAP terutama dalam memastikan kesejahteraan rakyat.
Ketua Biro Agama Kagum, Omar Al- Khattab Kasim berkata, syarat yang dikenakan oleh Tan Sri Annuar Musa lebih mudah, iaitu lokasi tidak boleh mengganggu lalu lintas, menjaga kebersihan makanan dan persekitaran tempat perniagaan jelas menunjukkan keikhlasan KWP di dalam membantu menaikkan semula ekonomi warga kota.
Menurutnya, Kagum menyambut baik dasar KWP yang memberi kelonggaran kepada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk ‘bebas’ berniaga bagi meringankan beban susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikhususkan kepada warganegara Malaysia saja selama enam bulan bermula 15 November ini.
Langkah ini juga sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan tekanan kewangan yang dihadapi oleh sebahagian besar warga kota akibat pandemik Covid 19.
Ia juga secara tidak langsung dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan fokus dalam memerangi wabak ini.
“Usaha dari KWP yang diterajui oleh Annuar ini harus juga dilaksanakan di negeri-negeri lain di dalam membangunkan semula ekonomi negara kita. Dalam merangsang semula pertumbuhan ekonomi, ia harus digerakkan secara dalaman” kata Omar lagi.
Dalam pada itu, Kagum mahu kerajaan memberi pertimbangan kebenaran pengeluaran Akaun 1 KWSP bagi mereka yang terkesan dengan pandemik ini.
Sumber: MalaysiaGazette