“Kalau bukan kerana Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, saya yakin tiada siapa pun nak ke Arab Saudi”, luahan marah ustaz popular ini undang tanda tanya netizen

“Kalau bukan kerana Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, saya yakin tiada siapa pun nak ke Arab Saudi”, luahan marah ustaz popular ini undang tanda tanya netizen

Ada segelintir pengurusan hotel di Arab Saudi didakwa membatalkan tempahan yang dilakukan jemaah umrah bagi memberi ruang kepada pihak yang menawarkan harga lebih lumayan dan tinggi.

Memetik Sinar Online,Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, lebih teruk lagi ada di antara mereka mengubah perjanjian dan menukarkan ke hotel lain meskipun jemaah umrah telah tiba.

Perkara tersebut dikongsikan beliau melalui hantarannya di Facebook setelah pulang daripada melakukan ibadah sunat tersebut.

“Saya baharu pulang. Benar pihak hotel main harga hingga sanggup batalkan tempahan bagi mengambil harga tawaran yang lebih lumayan dan tinggi.

“Makin melampau lagi apabila tempahan diambil daripada agensi pelancongan tetapi apabila jemaah semua telah sampai, mereka ubah perjanjian dan tukarkan jemaah ke hotel lain yang tidak menepati apa yang dijanjikan.

“Kalau tidak kerana Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah, saya yakin tiada siapa nak ke Arab Saudi,” katanya pada Ahad.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan agensi pelancongan di negara ini dijangka menaikkan harga pakej umrah pada saat akhir sebelum bakal jemaah umrah berlepas ke tanah suci.

Naib Presiden Haji dan Umrah Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Azri Abd Razak berkata, kenaikan itu berpunca daripada kenaikan mendadak kadar harga hotel di Kota Makkah dan Madinah pada masa ini.