Kalau dah reda, pilihanraya akan diadakan, kata PM

Kalau dah reda, pilihanraya akan diadakan, kata PM

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat Pengumuman Khas Darurat yang disiarkan secara langsung pagi tadi.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau berkata tiada Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sepanjang tempoh darurat iaitu sehingga 1 Ogos ini.

Memetik teks ucapan penuh beliau, keutamaan kini adalah mengawal wabak pandemik Covid-19 yang kini telah mencecah empat angka berbanding mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat.

“Keputusan ini adalah selaras dengan satu daripada lima prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa.

“Menjadi kewajipan saya sebagai ketua kerajaan untuk menjaga nyawa rakyat dengan melindungi saudara daripada jangkitan Covid-19. Ini adalah kemaslahatan paling utama yang dituntut agama Islam,” katanya.

Selain itu, beliau juga berkata bahawa pilihan raya akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas memperakukan bahawa wabak Covid-19 telah reda dan pulih sepenuhnya agar pilihan raya dapat dijalankan dengan selamat.

“Pada masa itu, terpulanglah kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak untuk mentadbir negara ini dan menjaga kebajikan saudara dan saudari sekalian.

“Inilah komitmen dan akujanji saya yang akan saya tunaikan, insya-Allah,” ujarnya.

Malah, beliau juga berharap ahli politik dapat mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama rakyat.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Bilal Shah telah memberi perkenan agar Pengisytiharan Proklamasi Darurat sebagai langkah bagi mengekang wabak Covid-19.

Berita penuh: https://www.omza.my/2021/01/kalau-dah-reda-terpulang-pada-rakyat.html?fbclid=IwAR2HgGajgFk1dxanWIWzhtDpsmNbf5gH8sB8MjB7NGwd_sTkq70-F8LrNI8