“Kalau tak nak pergi Coldplay, tak payah pergi, that’s all,” – KJ jawab pemimpin Pas

“Kalau tak nak pergi Coldplay, tak payah pergi, that’s all,” – KJ jawab pemimpin Pas

“Kalau tak nak pergi Coldplay, jangan pergi, that’s all (itu saja),” demikian pesanan dititipkan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin buat pemimpin serta penyokong PAS.

Dia yang pernah menjadi menteri beberapa kali turut menyeru PAS agar mereka menghentikan desakan kepada kerajaan untuk membatalkan konsert siri jelajah kumpulan dari Britain itu yang dijadual berlangsung 22 Nov depan.

Khairy yang lebih dikenali sebagai KJ juga kelihatan bosan dengan polemik pro dan kontra yang berlangsung rentetan konsert tersebut, termasuk membabitkan “kawan-kawan” ahli politik itu dalam kalangan pemimpin PAS.

“Boleh tak kita berhenti bercakap pasal ini semua? – KJ

“Saya pun ada kawan-kawan dalam PAS. Konsert semua tak boleh… batalkan konsert,” katanya mengupas soalan diberikan kepadanya pada program santai borak bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan, melalui podcast di YouTube semalam.

Untuk rekod, di sebalik kedudukan kanan Khairy dan Shahril dalam politik, kedua-dua mereka kini bukan lagi anggota Umno. Ketika Khairy dipecat daripada parti, Shahril pula digantung keanggotaannya.

Terdahulu Khairy diajukan soalan oleh Shahril mengenai tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengalu-alukan kedatangan kumpulan yang didakwa sesetengah pihak sebagai menyokong LGBT itu.

Menjawab soalan itu lagi, Khairy berkata, memang wajar Anwar membuka ruang untuk Coldplay mengadakan persembahan di negara ini kerana ia satu perniagaan yang menguntungkan.

Bahkan katanya, dia sendiri sudah lama teruja untuk menonton konsert kumpulan yang terkenal dengan lagu Yellow dan Fix You itu namun ‘tidak berkemampuan.’

“Kita di Malaysia agak ketagihan konsert. Selalu dia (Coldplay) bypass Malaysia, tapi kali ini kita dikejutkan dengan berita bagus, Coldplay datang Malaysia pada Nov.

“Saya tak pernah tengok Coldplay macam saudara Shahril sebab tu tunggu mereka datang sini. Saya bukan golongan T20.

“Adakah memberi kebaikan? Sudah tentu, ia adalah konsert besar. Kalau Coldplay tak main (adakan konsert) di negara jiran, orang dari negara itu akan datang ke negara kita, macam kita pergi Singapura.

“Silap-silap tiket kalau dah habis dalam 5 minit mungkin boleh tambah satu malam lagi. Mungkin, mungkin… dan kita akan dapat perniagaan….

“Itu yang kita perlukan, kita perlukan keterujaan,” katanya.

Tak berbunyi semasa jadi kerajaan

Semalam tokoh ulama PAS, Ahmad Dusuki Abdul Rani, mengaitkan beberapa bencana alam dengan penganjuran konsert Coldplay dan menganggap ia sebagai peringatan daripada Allah.

Ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat Nasrudin Hassan juga mahu kerajaan membatalkan konsert Coldplay yang dilabelkan persembahan tidak membawa sebarang kebaikan untuk negara, agama dan rakyat negara ini.

Nasrudin mempersoalkan jika tindakan kerajaan itu bertujuan mahu menyuburkan budaya hedonisme dan songsang di negara ini.

Sementara itu, Shahril berkata, dia pernah meminati dan menonton konsert Coldplay sewaktu menuntut di United Kingdom suatu ketika dulu.

Namun, katanya, ketika itu dia tidak berpuas hati dengan persembahan secara langsung dibuat band berkenaan.

“Sebabnya, saya tak suka live performance mereka. Saya hanya suka dua album awal diterbitkan, tapi lepas tu mereka dah jadi terlalu komersial, maaf kalau ada tak suka saya cakap begini,” katanya.

Shahril turut mempersoalkan mengapa PAS tidak mengkritik atau membatalkan beberapa konsert berskala besar pernah diadakan sewaktu parti itu berada dalam kerajaan.

“Ada konsert sewaktu PAS jadi kerajaan tapi ‘tak berbunyi’ pula. Ini satu lagi contoh mudah mengkritik, apabila serangan mereka tak melekat,” katanya.