Kali terakhir bertemu 3 bulan lepas, Adam Shaz luah rasa rindu bertemu anak ketika prosiding pertama hak penjagaan anak

Kali terakhir bertemu 3 bulan lepas, Adam Shaz luah rasa rindu bertemu anak ketika prosiding pertama hak penjagaan anak

“Bila berlaku perceraian, walau macam mana pun kita kena ingat satu, itulah emak dan itulah ayah dia, sampailah kita mati, hubungan itu takkan terputus. Lebih-lebih lagi hubungan anak perempuan dan bapanya,” kata pelakon, Adam Shahz.

Adam berkata demikian ketika mengulas kes prosiding perbicaraan kali pertama berhubung hak penjagaan anak tunggalnya bersama bekas isteri, pelakon Fatin Afeefa yang gagal mencapai kata sepakat.

Menurut Adam, dia bersuara mengenai hubungan anak dan bapa itu sekali gus untuk mewakili semua golongan bapa di luar sana.

“Ini bukan harapan saya saja yang berdepan dengan isu hak penjagaan anak ini tetapi pada semua golongan bapa yang lain.

“Tak kisah bila berlaku perceraian, jika pihak sebelah sana atau sini ada benda-benda yang negatif pun kita kena ingat satu saja hubungan antara anak dengan emak atau ayahnya di mana itu tidak akan putus sampai kita mati.

“Saya tak kata saya baik kerana ini soal anak. Bila dah besar dia perlukan proses pembesaran yang sihat dan tak nak ada benda yang negatif,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya bila kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya, Adam berkata, ia berlaku tiga bulan lalu.

“Saya memang rindu dengan anak saya. Orang bercinta pun rindu apatah lagi dengan anak,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan suami Fatin, Aliff Awang yang berkongsi video di TikTok dengan petikan di dinding mahkamah yang didakwa menyindirnya (Adam), Adam berkata, dia hanya dapat tahu mengenai perkara itu bila ada pihak memaklumkan kepadanya.

“Saya tak nak komen dan lebih baik saya berdiam diri dulu. Saya tak kisah pun kerana sudah biasa berdepan dengan perkara seperti itu selama lima tahun,” katanya

Terdahulu, prosiding perbicaraan kali pertama majlis sulk berhubung hak penjagaan anak tunggal Adam dengan Fatin Afeefa di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 26 Januari lalu gagal mencapai kata sepakat.

Justeru, mahkamah menetapkan kes terbabit dibawa di hadapan hakim pada 28 Februari ini.

Adam dan Fatin berkahwin pada Disember 2013, namun bercerai sekitar Mei 2017. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak, Ivy Herra Sophia, 7.