“Kami akan ke mahkamah secepat yang mungkin” – Hadiah kucupan mesra, Farid Kamil & Diana Danielle sah bakal kembali rujuk

“Kami akan ke mahkamah secepat yang mungkin” – Hadiah kucupan mesra, Farid Kamil & Diana Danielle sah bakal kembali rujuk

Pasangan selebriti, Farid Kamil dan Diana Danielle mengesahkan mereka berdua bakal kembali rujuk semula sebagai suami isteri selepas sebulan bercerai.

Ia sekaligus menjawab spekulasi tular sejak semalam apabila mereka dilihat kembali mesra dan dilihat seperti sedang dilamun cinta dalam sesi podcat Budiey Channel yang dimuat naik semalam di laman YouTube.

Farid Kamil & Diana Danielle akan segera ke mahkamah, rujuk semula

Memetik laporan Harian Metro, aktres jelita, Diana Danielle Danny Beeson, 32, menyatakan dia dan Farid akan ke Mahkamah Syariah dengan secepat mungkin bagi menyelesaikan urusan rujuk semula.

“Kami akan ke mahkamah secepat mungkin tetapi semua itu perlu dilakukan mengikut proses dan tidaklah tergesa-gesa kerana masih dalam tempoh idah.
“Kami juga masih ada masa. Bukan saya tidak mahu umum rujuk tapi perkara ini membabitkan proses mahkamah,” katanya.

Tambah Diana, mereka berdua kini masih dalam fasa untuk memperbaiki diri serta mencari jalan terbaik untuk rumah tangga pada masa akan datang demi anak-anak.

Diana bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut kerana ia adalah privasi di antara mereka berdua.

“Kami juga tidak  pernah berhenti berdoa untuk hubungan ini. Kami juga tidak tahu ini pengakhirannya kerana semua sudah ketentuan Allah S.W.T
“Sekarang ini kami masih dalam fasa mencari jalan terbaik untuk masa depan. Kami mahu membina kembali yang pernah ada sebelum ini.
“Tetapi saya tidak mahu terlalu bercakap mengenai perkara ini kerana perlu ada privasi dalam hubungan kami,” katanya lagi.

Ditemui di Karnival Mega Suria di Padang Timur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Farid juga dilihat sempat menghadiahkan kucupan hangat pada pipi Diana Danielle sebagai tanda hubungan mereka telah pulih.

Sekadar info, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 namun sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Ogos lalu.

Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8.