Kami sedia disaman, Firdaus Wong jangka mangsa gangguan seksual libatkan pendakwah terkenal bertambah ramai

Kami sedia disaman, Firdaus Wong jangka mangsa gangguan seksual libatkan pendakwah terkenal bertambah ramai

Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mengajak orang ramai tampil membuat pendedahkan berhubung kes gangguan seksual didakwa membabitkan seorang lagi pendakwah popular.

Firdaus berkata usaha tersebut dibuat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai serta menggalakkan lebih ramai mangsa berani tampil membuat laporan polis.

“Mangsa menghubungi saya dan meminta saya untuk kongsikan beberapa bukti di media sosial sebagai kesedaran kepada masyarakat serta menggalakkan lebih ramai mangsa berani tampil membuat laporan polis.

ADS

“Alhamdulilah setelah perkongsian, telah ada mangsa baru yang tampil dan sekarang mereka sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Firdaus mendedahkan sebahagian perbualan gangguan seksual yang didakwa membabitkan mangsa.

Firdaus mendakwa itu antara beberapa hantaran mesej WhatsApp yang dilihat sendiri dari telefon bimbit mangsa.

“Kesemua bukti-bukti yang kami kongsikan di Telegram adalah bukti-bukti yang telah diserahkan oleh mangsa kepada pihak polis.

“Bukti-bukti tersebut tidak pernah kami sebar atau kongsikan agar tidak menganggu siasatan pihak polis,” katanya.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata pihaknya akan bersama dengan mangsa-mangsa yang telah membuat laporan polis untuk mendapatkan keadilan.

“Jikalau ada pihak yang mahu membuat laporan polis atau mengambil tindakan saman, kami telah pun bersiap sedia 100 peratus.

“Segala bukti-bukti telah kami siap sedia andai ada mana-mana pihak yang mahu mengambil tindakan saman. Kami tetap teguh mempertahankan prinsip berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar,” katanya.

Jelas Firdaus, sebelum ini pihaknya tidak dapat membuat pendedahan sedemikian kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan polis.

“Kepada yang selama ini mempersoalkan kenapa mangsa tidak buat laporan polis, kami telah lama buat laporan cuma tidak menceritakan agar tiada pihak menganggu siasatan.

“Kini setelah laporan dibuat, anda yang meminta bukti dikongsikan di medsos tetapi kami enggan berbuat demikian kerana masih dalam siasatan polis dan tidak mahu menganggu tugasan polis. Kami dihina dan diserang. Tiada masalah, kami bersabar,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan HMetro, polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang pendakwah popular.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd Jalil Hassan dilaporkan sebagai berkata, siasatan masih dijalankan selepas polis mengambil keterangan mangsa yang dikaitkan dengan kes gangguan seksual.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas penceramah yang dituduh itu.