Kanak-kanak 2 tahun meninggal dunia tercekik anggur

Kanak-kanak 2 tahun meninggal dunia tercekik anggur

 

Seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun meninggal dunia dipercayai akibat tercekik ketika memakan buah anggur, kira-kira 10 hari selepas menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata Nur Aryanna Danisha Muhamad Shaizat disahkan meninggal dunia pada jam 9.23 pagi tadi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Melaka.

Katanya terdahulu kanak-kanak itu menerima rawatan awal di sebuah hospital swasta di Ayer Keroh akibat tercekik ketika memakan anggur di rumahnya di Taman Merbok dekat sini, dan doktor di hospital berkenaan berjaya mengeluarkan buah itu.

Beliau berkata bagaimanapun kanak-kanak itu didapati masih dalam keadaan tidak stabil dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Kanak-kanak itu (kemudiannya) dipindahkan ke Hospital Melaka pada 31 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Christopher berkata menurut doktor punca kematian kanak-kanak itu ialah ‘Hyporxic Ischaemic Encephalopathy secondary to choking‘.