Kanak-kanak 6 tahun letak kerusi kecil atas kerusi pemandu, adik pula tekan pedal minyak

Kanak-kanak 6 tahun letak kerusi kecil atas kerusi pemandu, adik pula tekan pedal minyak

 

Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang memandu kereta jenis Toyota Vios sehingga terlibat kemalangan dipercayai meletakkan kerusi kecil di atas kerusi pemandu ketika mengendalikan kenderaan itu di Jalan Bukit Tangga, di sini semalam.

Malah, adik lelakinya yang berusia tiga tahun pula dikatakan menekan pedal minyak kereta tersebut semasa mereka keluar dari rumah di Kampung Padang Mengkuang yang berjarak kira-kira 2.5 kilometer (KM) dari tempat kemalangan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, polis sudah selesai merakam keterangan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak terbabit tengah hari ini.

“Bagaimanapun, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pula akan merakam keterangan bapa yang berusia 28 tahun dan ibunya yang berumur 22 tahun. Bapa kanak-kanak itu merupakan peniaga kedai runcit, manakala isterinya tidak bekerja,” katanya memetik laporan Utusan.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan seorang budak lelaki mengalami kecederaan kecil di bahagian dagunya setelah kereta dipandunya semasa hendak ke kedai terbabas lalu melanggar lampu jalan di Jalan Bukit Tangga berhampiran Titi Chanwang.

Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu disedari orang awam yang membantu mereka setelah kenderaan itu terbabas.

Menerusi video yang tular, salah seorang kanak-kanak terbabit memberitahu mahu pergi ke kedai dan ibu bapa mereka berada di rumah ketika kejadian.

Dalam video berasingan yang dirakam seorang pengguna yang mengekori kenderaan tersebut mendapati, kereta jenis Toyota Vios berwarna putih berkenaan didapati dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum terbabas di tempat kejadian.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia mendapatkan maklum balas ibu bapa kedua-dua kanak-kanak terbabit belum berhasil setakat ini.