Kantin lebih lima tahun rosak, murid terpaksa makan merata-rata

Kantin lebih lima tahun rosak, murid terpaksa makan merata-rata

 

Sedih melihat keadaan 230 murid sebuah sekolah di sini apabila terpaksa makan di lokasi ‘bersepah-sepah’ termasuk di tepi longkang dan lereng bukit kerana kantin sekolah itu yang rosak sejak 2016 belum dibaiki.

Ada antara mereka makan dalam kelas, di laluan pejalan kaki dan bawah khemah yang dipasang pihak sekolah bagi menampung ruang makan murid-murid di situ.

Jika hujan, murid tiada pilihan dan terpaksa makan di bawah khemah disediakan walaupun berlecak.

Bagi 25 guru dan tujuh kakitangan kumpulan sokongan, mereka juga terpaksa membungkus makanan dan makan dalam bilik guru.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Zulyazan Mat Saman berkata, ekoran kerosakan kantin, tempat memasak juga terpaksa dipindahkan di lokasi baharu yang sempit iaitu sebuah bilik kecil tidak bertingkap.

Menurut beliau, pengusaha kantin menghadapi sedikit kesukaran dalam kerja-kerja membersihkan pinggan mangkuk, alatan masakan dan pembersihan kawasan memasak kerana paip air tiada di lokasi baharu.

“Hanya satu laluan ke bilik masak itu dan sebelum ini pernah berlaku kejadian kebocoran gas memasak. Dengan keadaan bilik yang kecil dan sempit, ia bahaya untuk keselamatan tukang masak, pekerja dan murid.

“Keadaan ini sudah lama berlarutan iaitu lebih lima tahun walaupun aduan serta permohonan dibuat kepada pihak berkenaan untuk pembinaan kantin baharu di sekolah ini.

“Ia sepatutnya diberikan keutamaan kerana ini soal kebajikan dan keselamatan murid, namun tidak diendahkan seolah-olah pihak berkenaan tidak memikirkan keselamatan murid sekolah ini,” katanya di sini semalam.

ZULYAZAN Mat Saman (tengah) bersama ibu bapa meminta supaya kerajaan segera membina kantin baru di Sekolah Kebangsaan (SK) (RKTP) Kampung Awah di Maran, Pahang.

Bercerita tentang kerosakan kantin di sekolah itu, Zulyazan berkata, bermula 2016, berlaku reput yang memusnahkan atap kantin, hakisan dan retakan pada dinding serta lantai.

“Setiap tahun retakan makin ketara, membesar serta luas. Pada 2019, Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat analisis dan mengesahkan bahawa bangunan kantin tidak boleh digunakan sepenuhnya dan berbahaya kepada murid,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JKR mencadangkan supaya lokasi kantin diubah kerana tempat sedia ada berisiko disebabkan terlalu dekat dengan cerun dan didapati berlaku pergerakan tanah di situ.

“Pihak JKR juga telah mengemukakan anggaran kos untuk membina kantin baharu sebanyak RM341,600. Ia membabitkan kerja awalan, kerja meroboh, kerja-kerja bina baharu dan kerja-kerja elektrik,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Siti Aishah Othman, 51, berkata, dia cukup sedih melihat keadaan murid sekolah tersebut makan di lokasi ‘bersepah-sepah’ termasuk tepi longkang.

“Lagi sedih kalau waktu hujan atau ketika hujan. Bawah khemah tempat makan sementara disediakan berlecak, tapi apakan daya murid tetap kena makan di situ,” katanya.