Kantoi berbohong, UMMAH dan Harakahdaily mohon maaf

Kantoi berbohong, UMMAH dan Harakahdaily mohon maaf

 

NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan pihak editorial Harakahdaily memohon maaf berkaitan kekeliruan senarai NGO menerusi artikel bertajuk ‘440 NGO Islam sokong tempoh Darurat dikekalkan’ yang disiarkan dalam Harakahdaily pada 16 Jun lepas.

Pengerusi UMMAH Mohd Zai Mustafa menjelaskan kenyataan itu dikeluarkan sebelum Mesyuarat Khas Raja Raja Melayu berlangsung 16 Jun.

Katanya, jika terdapat kekeliruan dan manipulasi daripada pihak yang mengambil kesempatan mengheret UMMAH ‘menderhaka’, beliau berharap diteliti kenyataan UMMAH yang telah sembah maklum gembira dan terima kasih kepada YDPA di atas cadangan keputusan yang bijaksana kepada kerajaan bagi menangani pandemik Covid-19.

“Kepada mana-mana NGO yang tersalah masuk pihak kami telah keluarkan daripada senarai, dan pihak kami memohon maaf di atas kesilapan yang sangat tidak disengajakan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Baru-baru ini laman berita ini menyiarkan kenyataan UMMAH yang bertajuk ‘UMMAH dan 440 NGO Islam menyokong dikekalkan darurat, juga disiarkan media-media lain.

Mohd Zai juga berkata, UMMAH sangat prihatin dengan sensiviti NGO yang bergerak bagi mencapai objektif masing-masing.

Menurutnya NGO itu sentiasa menyokong apa juga bentuk sokongan dan kolaboratif bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara.

“Pihak UMMAH juga telah mengeluarkan senarai baru yang telah dikemaskinikan. Semoga dengan pembetulan ini dapat memberi pencerahan kepada semua pimpinan NGO yang terlibat.

“Semoga hubungan di antara NGO dapat dijernihkan semula bagi menjadi kumpulan third force dan check and balance yang berkesan dan bermanfaat kepada negara,” ujarnya.

Oleh itu kata beliau sekiranya ada lagi pihak-pihak daripada rakan NGO yang ingin mendapatkan penjelasan yang terperinci dan permohanan maaf secara personal, pihaknya sangat mengalu-alukan.

“Semoga ukhuwah silaturrahim terus berkekalan dan berpanjangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2021

COMMENTS