Kantoi!!! Sanusi mengaku lakukan kesalahan naik kenderaan lebih 2 orang
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau tidak memandu uji kereta di Juru Auto City, Bukit Mertajam, Sabtu lalu dan bersedia memaafkan wanita yang membuat dakwaan berhubung isu itu.
“Saya tidak memandu kereta itu (tetapi) hanya duduk di dalam kereta di sebelah jurujual manakala pengawal peribadi saya duduk di belakang.
“Bagaimanapun, saya serahkan kepada polis untuk membuat siasatan sama ada kejadian petang itu ada kaitan dengan pelanggaran SOP PKP 3.0.
“Saya tak kata saya tak salah, tetapi seandainya ia satu pelanggaran SOP, saya minta maaf kerana ia berlaku secara kebetulan,” portal Harakahdaily milik PAS memetik Sanusi sebagai berkata.
Sanusi juga berkata beliau memaafkan “makcik” yang mendakwa beliau melanggar SOP dengan memandu uji kenderaan di Juru Auto City pada Sabtu lalu, tanpa mengira niat wanita itu.
“Saya sedia memaafkan makcik itu. Kalau niat dia buruk pun saya maafkan. Kalau dia berniat baik saya puji sikapnya.
“Malah saya juga memaafkan semua yang pernah memaki hamun saya tidak kiralah kes apa-apa pun,” tambah beliau.
Sanusi berkata pihak yang mengambil gambarnya berhubung kejadian itu sepatutnya memastikan fakta sebelum membuat dakwaan.
“Orang yang ambil gambar itu pun mungkin niat baik nak tunjuk pemimpin langgar SOP. Cuma dia tak pun tanya saya dulu ‘mai’ (pergi) situ buat apa. Mungkin dia fikir saya rentas negeri kerana nak beli kereta,” jelasnya.
Menurutnya, sekiranya perbuatan itu dianggap sebagai satu kesalahan, beliau sedia membayar kompaun semua yang terlibat termasuk juru jual kenderaan berkenaan.
Sanusi berharap warganet tidak menyalahkan jurujual kereta terbabit kerana melayannya dengan baik ketika singgah di ruang pameran kenderaan tersebut.
Sabtu lalu, suri rumah Nini Siron, 36, memuat naik gambar seorang lelaki menyerupai Sanusi menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk di pandu uji bersama tiga orang lain, termasuk juru jual kereta.
Sebarang pandu uji kenderan dilarang bawah Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang berkuat kuasa sekarang.
Nini kemudian membuat laporan polis berhubung perkara itu pada hari sama.
Menurut laporan, polis telah mengambil keterangan beberapa individu dan dijadualkan mengambil kenyataan Sanusi petang tadi.
Susulan membuat laporan polis itu, Nini diserang dalam talian, dengan gambar keluarga dan anaknya disebarkan secara meluas di media sosial yang mengecam tindakannya itu.
Sanusi turut menasihatkan Nini menggunakan gajet yang dimilikinya bagi kerja-kerja kebaikan.
“Kalau dia perlu gajet yang baik untuk dapatkan gambar lebih jelas, saya bersedia hadiahkan untuknya gajet baharu.
“Tetapi ambil gambar yang baik-baik dan sebar untuk tujuan kebaikan,” tambahnya yang juga Adun Jeneri.
Beliau turut menasihatkan warganet menghentikan budaya memburukkan orang lain di media sosial.