Kantoi!!! Taktik sembunyi dadah dalam patung beruang gagal, pelajar tingkatan 2 antara ditahan

Kantoi!!! Taktik sembunyi dadah dalam patung beruang gagal, pelajar tingkatan 2 antara ditahan

Seorang pelajar tingkatan dua antara dua yang ditahan kerana menyembunyikan dadah dianggarkan lebih 250g bernilai RM26,620 di dalam patung beruang.

Ketua Polis Daerah Pekan, Mohd Razli Mohd Yusof, berkata polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Pandan, Nenasi, di Pekan, Pahang sekitar 1.15 pagi 7 Mei lalu dan menahan seorang lelaki berumur 21 tahun bersama anak saudaranya yang masih bersekolah di tingkatan dua bagi membantu siasatan.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam bilik tidur rumah itu menemui lima bungkus syabu dan 162 biji pil yaba untuk dipasarkan sekitar Kampung Pandan, Nenasi, yang disembunyikan dalam seekor patung beruang.

“Selain dadah, polis turut merampas wang tunai RM1,800 dan siasatan awal juga mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah itu dari Kuantan dan baru bergiat aktif mengedar bahan terlarang itu dalam dua bulan,” katanya, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada kira-kira 300 penagih.

Katanya, suspek yang juga penganggur itu mempunyai dua rekod jenayah lampau dan ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek berkenaan didapati negatif.

Razli berkata, kedua-duanya direman tujuh hari sehingga 13 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. – FMT