Karisma semakin pudar, CEO ILHAM Centre saran Anwar ikut jejak Kit Siang

Karisma semakin pudar, CEO ILHAM Centre saran Anwar ikut jejak Kit Siang

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya mengikut jejak penasihat DAP Lim Kit Siang, bersara daripada politik.

Pemikiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak setajam dahulu, malah karismenya juga semakin pudar dalam kalangan rakyat, namun PKR tiada pilihan selain mengekalkannya.

Perkara ini dinyatakan Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berdasarkan pemerhatiannya dan kajian firma berkenaan terhadap dua Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Ilham Centre adalah firma penyelidikan bebas, yang mengkhusus dalam tinjauan awam, penyelidikan pasaran dan analisis data dalam politik dan pilihan raya, dasar awam, sosial dan ekonomi.

“Berdasarkan kajian kami pada PRN Melaka dan Johor, tahap penerimaan rakyat di dua negeri ini sangat rendah. Melihat pada populariti beliau, nisbahnya dikatakan sebagai pudarnya karisme Anwar. Pemikiran beliau sudah tidak setajam dahulu dalam memimpin parti.

“Adalah munasabah untuk rakan-rakan parti Pakatan Harapan (PH) melihat hal ini kerana faktor pemudaran kepimpinan beliau disebabkan beberapa kekhilafan dalam membuat keputusan untuk PKR dan PH, yang menyebabkan rakyat yang pernah mengundi mereka dahulu sudah tidak lagi menyokong,” katanya seperti dilapor Utusan.

Malah, Hisomuddin berpendapat Anwar sewajarnya mempertimbangkan pendekatan sama seperti bekas Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang bersara daripada politik.

Ini kerana beliau dilihat gagal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor, malah dakwaan beliau mempunyai sokongan kukuh serta meyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah menjadi kenyataan.

Menurutnya walaupun akar umbi dilaporkan masih memerlukan khidmatnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Anwar sudah sepatutnya berundur setelah kredibilitinya sebagai Ketua Pembangkang dipertikai.

Bagaimanapun, Hisomuddin berkata pandangan mungkin berbeza bagi ahli PKR yang masih memerlukan Anwar mengemudi parti dan seluruh pembangkang di negara ini, walaupun wujud tekanan supaya beliau tidak lagi mencampuri urusan politik.

“Saya yakin, ahli PKR masih melihat kepemimpinan beliau diperlukan dan saya tidak menolak jika Anwar masih kekal sebagai calon Presiden,” katanya.

Pada 23 September 2020, Anwar mendakwa kerajaan PN ketika itu ditadbir bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tumbang selepas memperoleh majoriti kukuh dan meyakinkan membentuk kerajaan baharu.

Hingga satu tahap, beliau mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat kepada Istana Negara tanpa sebarang nama, bagaimanapun, jumlah sokongan tersebut masih tidak diketahui sehinggalah Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi Perdana Menteri baharu manakala impian Anwar menyandang jawatan nombor satu negara belum kesampaian.

Tidak cukup dengan itu, PKR gagal mendapat sebarang kerusi pada PRN di Sarawak dan Melaka, manakala hanya menang dua kerusi di Sabah dan satu kerusi DUN di Johor.