‘Kartel Balak’ mengganas di Perak

‘Kartel Balak’ mengganas di Perak

Seluas 3,000 hektar hutan simpan di Perak dikesan diteroka secara haram membabitkan kes yang dilakukan individu sama.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun masalah itu sedang dan telah ditangani Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) apabila mana lima kes dibawa ke mahkamah dan beberapa kes yang lain sedang disiasat.

“Hampir semua kes yang berlaku di negeri ini dilakukan oleh beberapa individu sama yang membuat penebangan dan mengambil kayu secara tidak sah dari hutan dan menjualnya.

“Sebilangan yang lain pula terus mengusahakan tanaman di tanah yang diceroboh secara haram,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Penghijauan Malaysia Peringkat Negeri Perak di Dataran Tasik Raban hari ini.

Hadir sama Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang dan Pengarah JPNP, Datuk Mohd Zin Yusop.

Saarani berkata, kerajaan negeri mendesak pihak-pihak yang terbabit dengan kegiatan haram itu supaya menghentikannya dengan segera kerana kerana pengambilan kayu dan penerokaan tanah mempunyai undang-undang khusus dan mesti mengikut peraturan.

Katanya, sekiranya aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah dilakukan secara haram banyak kesan negatif yang akan berlaku, antaranya akan menyebabkan banjir lumpur. – HM