Kawasan resort dipenuhi tahi, A. Aida kesal lepaskan 50 ekor merpati

Kawasan resort dipenuhi tahi, A. Aida kesal lepaskan 50 ekor merpati

 

Sabtu lalu, anak kepada penerbit A. Aida dan penyanyi Ameng iaitu Wan Az Aleesa selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan hati, Zain Azrai Abdul Aziz.

Dalam majlis diadakan di Kasturi D Manggis, Janda Baik, Pahang itu, upacara simbolik pelepasan 50 ekor burung merpati dilakukan sebaik sahaja selesai majlis.

Bagaimanapun tindakan melepaskan burung berkenaan membawa padah apabila resort milik A. Aida dipenuhi dengan najis haiwan berkenaan.

Memetik mStar Online, Aida berkata burung-burung yang dilepaskan itu tidak mahu terbang jauh dan masih lagi berkeliaran di sekitar resort miliknya.

“Niat saya nak bebaskan burung itu dari terkurung, tak sangka pula bila dibebaskan dia tidak mahu pergi ke tempat lain. Habis sekarang ini resport saya dipenuhi tahi burung. Burung-burung itu duduk di atas bumbung rumah saya,” katanya.

Dalam pada itu, Aida berkata pada awalnya dia mahu membeli 100 ekor burung namun penjual hanya ada 50 ekor sahaja. Difahamkan, burung merpati itu dibeli pada harga RM25 seekor.

“Mulanya saya minta seratus ekor, tapi penjual kata ada 50 saja, Nasib baik sebenarnya. Saya tak boleh bayang kalau ada seratus ekor tinggal di atas bumbung resort saya sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, Aida memaklumkan dia sedang berusaha untuk menangkap burung-burung berkenaan untuk dilepaskan di tempat lain.

“Saya tengah cari orang untuk tangkap burung itu, siapa tangkap..kira dia punyalah. Saya bukan tak nak bela.

“Ada yang sarankan saya untuk bela supaya jadi tarikan tempat saya ini, tapi saya tak boleh buat macam itu sebab tak ada siapa nak bersihkan najis-najis burung itu nanti,” katanya.