Keadaan terkini Ahmad Samerin, tauke kedai basikal yang menang RM1 juta permainan Jutaria

Keadaan terkini Ahmad Samerin, tauke kedai basikal yang menang RM1 juta permainan Jutaria

 

Bagi generasi yang membesar pada era 90-an, permainan Jutaria adalah antara aktiviti popular untuk mengisi masa lapang,

Terutamanya ketika tiada Facebook, Twitter, atau YouTube pada zaman itu.

Namun, tahukah anda bahawa Jutaria pernah diadaptasikan ke dalam bentuk rancangan televisyen?

Versi televisyen ini dikenali sebagai More Jutaria,

Di mana wang hadiahnya mencecah sehingga RM1,000,000. Yang menariknya, hanya seorang individu, Ahmad Samerin, yang berjaya memenangi kuiz ini.

More Jutaria ialah rancangan televisyen yang dikeluarkan oleh RTM1 pada tahun 1991 dan merupakan rancangan kuiz paling mahal di Malaysia pada masa itu.

Ditaja oleh jenama rokok More milik R.J. Reynolds, rancangan ini menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM1,000,000 dan sebuah kereta Ferrari.

Pada 9 September 1991, Ahmad Samerin Dzulkifli, seorang pemilik kedai basikal di Pusat Bandar Jengka yang berusia 23 tahun ketika itu, mencipta sejarah sebagai pemenang tunggal More Jutaria dengan memenangi hadiah wang sebanyak RM1,000,000.

Lebih menarik lagi, namanya, SAMERIN, digunakan untuk melengkapkan petak kosong pada pusingan bonus yang berkaitan dengan ekonomi.

Beliau menolak kereta mewah Ferrari yang ditawarkan kerana tidak tahu memandu dan memilih memikirkan kehidupan di kampungnya yang dianggap tidak sesuai untuk memandu kereta tersebut.

Samerin menjadi pemenang pertama dan terakhir dalam kuiz More Jutaria yang dikendalikan oleh juruacara Ahmad Tarmimi Serigar. Selepas kemenangannya itu, dia turut memenangi wang tunai lebih RM6,000 melalui acara siri keenam dan ke-14 serta mendapat sebuah bot Bayliner, yang kemudian dijual dengan harga RM25,000.

Namun, Ahmad Samerin kini lebih suka hidup rendah tanpa tumpuan masyarakat. Dalam wawancara pada 22 November 2016, beliau menyatakan bahawa sejak kemenangannya, ramai yang ingin mengetahui kisah hidupnya, tetapi beliau memilih untuk menjaga privasi atas pelbagai sebab.

Baginya, kebebasan sebenar adalah apabila orang ramai sudah tidak mengenali Ahmad Samerin, individu yang pernah mencipta sensasi sebagai jutawan dalam sekelip mata.

Kedai basikal yang pernah diusahakan kini diserahkan kepada adiknya, dan dia kini menjalani hidup dengan menguruskan kedai elektrik di Bandar Baru Jengka.

Berkenaan dengan wang kemenangan, laporan tidak menyatakan jenis pelaburan yang dilakukan oleh Samerin, walaupun pada masa lalu beliau menyatakan niat untuk bersedekah, melabur dalam Amanah Saham Bumiputera, dan membeli Sijil Simpanan Premium.