Kecam Dr. Noor Hisham, Muhyiddin dituntut pecat King Sing dari jawatan duta khas PM ke China

Kecam Dr. Noor Hisham, Muhyiddin dituntut pecat King Sing dari jawatan duta khas PM ke China

Beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menuntut permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing susulan kenyataannya yang menyifatkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai individu ‘takut mati’.

Turut dituntut agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melucutkan jawatan King Sing sebagai Duta Khas kepada Perdana Menteri ke China.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, beliau kecewa kerana diarahkan keluar dewan ketika mempertahankan Dr Noor Hisham di persidangan Dewan Rakyat.

Beliau turut mempertikaikan mengapa Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mendengar King Sing mengulangi kenyataan itu beberapa kali, namun tidak meminta ia ditarik balik dan membuat permohonan maaf.

ARTIKEL BERKAITAN Dewan Rakyat kecoh, Rayer dihalau keluar

“Perkara ini kita tidak boleh benarkan kerana kita perlu menghormati barisan hadapan utama kita iaitu Dr Noor Hisham. Apa pun penjelasan tidak boleh diterima kerana kenyataan ‘takut mati’, tak turun padang dan hanya budak pejabat boleh baca kenyataan, tidak sepatutnya dibuat.

“Kita tak boleh nafikan sidang akhbar dibuat beliau begitu penting untuk masyarakat tahu perkembangan terkini dan sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19.

“Saya mohon King Sing tarik balik kenyataan dan buat permohonan maaf,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, beliau turut senada dan telah membangkitkan perkara tersebut dalam Dewan Rakyat.

“Saya telah bangkitkan peraturan mesyuarat 36 (9) yang menyatakan antara lainnya iaitu semasa perbahasan ahli Parlimen tidak boleh menghina atau menimbulkan perkataan yang memperlekehkan ahli parlimen lain dan juga disebut dengan jelas kakitangan kerajaan.

“Selari dengan itu King Sing perlu menarik balik kenyataan beliau,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, adalah luar biasa apabila seorang pegawai kerajaan telah dikutuk oleh ahli Parlimen kerajaan sendiri sedangkan pembangkang yang mempertahankan pegawai kerajaan.

“Semua petugas barisan hadapan telah berkorban untuk rakyat Malaysia dan tidak mereka takut mati. King Sing perlu mohon maaf bukan hanya kepada Dr Noor Hisham sebagai wakil barisan hadapan tetapi juga kepada doktor dan jururawat,” katanya.

Dewan Rakyat hari ini kecoh sehingga Rayer diarahkan keluar dewan kerana berterusan mendesak King Sing menarik balik kenyataan ‘DG takut mati’ ketika perbahasan Belanjawan 2021.

King Sing bagaimanapun enggan menarik balik kenyataan itu kerana mendakwa apa yang disebut adalah suara hati petugas barisan hadapan yang berada di lapangan.

Pada masa sama, King Sing turut membangkitkan rasa tidak puas hati beliau terhadap prosedur operasi standard (SOP) daripada KKM berkaitan kes membawa pulang abu mayat mangsa bunuh dari Taiwan ke Sibu Sarawak yang disifatkan menyusahkan pihak terlibat.

Sumber: Sinar Harian