Kecewa dengan keputusan Zahid, UMNO Melaka minta ahli bersiap sedia hadapi kekalahan

Kecewa dengan keputusan Zahid, UMNO Melaka minta ahli bersiap sedia hadapi kekalahan

Umno Melaka akur sekiranya pucuk kepimpinan tertinggi parti itu memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya negeri (PRN).

Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusoh berkata, meskipun Umno negeri mengalu-alukan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), namun parti itu juga bersedia untuk bertanding bersendirian.

“Umno ini sudah bersedia dengan apa jua keadaan. Tetapi kita kena akur dengan keputusan pucuk kepimpinan. Lagipun, perkara ini (kerjasama) masih belum habis berbincang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka seperti dilaporkan sebuah portal berita hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 pada 4 Okt daripada Speaker DUN Melaka Ab Rauf Yusoh, dan sehubungan itu berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN itu.

Terdahulu, Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan cadangan menjalinkan kerjasama politik dengan PN dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Beliau berkata, pihaknya beranggapan ia cadangan yang baik dan akan diteliti sebelum dibawa ke peringkat tertinggi parti untuk diperhalusi.

“Kita mengalu-alukan cadangan Pengerusi PN (Melaka), Mohd Rafiq Naizamohideen semalam, supaya BN dan PN menjalinkan kerjasama politik dalam menghadapi PRN ini.

“Namun, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dengan kepimpinan tertinggi di Ibu Pejabat BN untuk diperhalusi.

“Hasrat itu sangat saya hargai dan saya akan mengangkat perkara ini untuk pertimbangan parti dalam masa terdekat,” katanya.

Sumber – FMT