Kecewa tiada pelanggan, pemandu teksi enggan teruskan khidmat

Kecewa tiada pelanggan, pemandu teksi enggan teruskan khidmat

Pemandu teksi di negeri ini mengalami penurunan pendapatan yang ketara, berikutan ketiadaan penumpang sejak Mac tahun lalu, sehingga segelintir mereka sanggup berhenti dan menyerahkan permit.

Bendahari Persatuan Kereta Sewa Kelantan Gabungan Barat, Faizul Mustapa, 60, berkata hampir 30 daripada 300 ahli persatuan itu berbuat demikian disebabkan tidak dapat ‘bergerak’, selain tidak mampu menanggung kos operasi kerana kerap pulang dengan tangan kosong.

“Kebanyakan yang berhenti ialah mereka di kawasan Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor. Kita jangka jika keadaan ini berterusan, lebih ramai akan berhenti sebagai pemandu teksi,” katanya kepada pemberita pada Program Cakna Pemandu Kereta Sewa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), di sini semalam.

Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, menyampaikan sumbangan baucar petrol bernilai RM50 kepada 21 pemandu teksi di daerah ini yang terjejas oleh COVID-19.

Faizul berkata, pemandu teksi juga berdepan kesukaran untuk terus menanggung kos operasi tahunan, termasuk lesen dan insurans kenderaan.

“Insurans perlindungan kereta juga perlu ditanggung pemandu teksi membabitkan jumlah antara RM800 hingga mencecah RM1,700, bergantung pada usia kereta, selain lesen kereta dan perniagaan sebanyak RM300 bagi tempoh lima tahun.

“Kami merayu pihak berkaitan untuk tampil membantu ahli persatuan yang rata-rata hanya bergantung pada teksi sebagai sumber pendapatan. Kami berharap kerajaan dapat menimbang pengecualian bayaran lesen dan permit sepanjang tempoh sukar ini,” katanya.

Sementara itu, Ismail Kadir, 67, yang memandu teksi sejak 35 tahun lalu, berkata dia kini hanya mengharapkan wang pemberian anak untuk meneruskan kehidupan, selepas hilang punca pendapatan sejak Mac lalu.

“Sebelum ini saya mampu peroleh sekitar RM40 sehari. Namun sejak Mac tahun lalu, saya langsung tiada pendapatan kerana ketiadaan pelanggan. Saya ambil keputusan duduk di rumah sahaja kerana jika keluar bekerja pun, saya akan pulang dengan tangan kosong,” katanya. – BH