Kecoh!!! Lalat punca pergaduhan

Kecoh!!! Lalat punca pergaduhan

Lalat yang ditemui di dalam nasi lemak dipercayai menjadi punca kekecohan yang berlaku di sebuah restoran di Jalan SS 15/4, di sini, tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita tempatan yang juga pengurus restoran berkenaan berusia 55 tahun.

“Berdasarkan laporan itu, pengadu memaklumkan terdapat tiga wanita dan seorang lelaki tempatan yang tidak berpuas hati selepas menemui lalat di dalam nasi lemak dihidangkan.

“Pelanggan lelaki terbabit kemudian mengeluarkan telefon bimbit dengan tujuan untuk membuat rakaman namun ditegur pengadu yang mengugut untuk menyebarkan perkara berkenaan di media sosial,” katanya tadi.

Abd Khalid berkata, pelanggan lelaki itu kemudian menampar pipi kiri pengadu mengakibatkan berlaku pertengkaran antara pekerja restoran dan suspek sebelum mereka (pelanggan) beredar.

“Dalam kejadian ini, kami turut menerima satu lagi laporan daripada pelanggan wanita yang juga seorang jururawat berusia 50–an.

“Susulan laporan itu, kami menahan dua lelaki warga India yang juga pekerja restoran terbabit serta seorang wanita tempatan jam 3 petang tadi ,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang giat mengesan seorang lagi lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata,” katanya.

Terdahulu, dua video masing-masing berdurasi tiga dan enam saat menunjukkan insiden kekecohan membabitkan beberapa pelanggan serta pekerja restoran terbabit tular di media sosial. – HM