Kegagalan Sanusi bayar RM120,000 kalah saman fitnah, Mahfuz tuntut pampasan RM240,000 pula

Kegagalan Sanusi bayar RM120,000 kalah saman fitnah, Mahfuz tuntut pampasan RM240,000 pula

 

Susulan kegagalan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 seperti diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya, baru-baru ini, Pengerusi Pakatan Harapan Kedah Mahfuz Omar bercadang memohon untuk meminta tambahan pampasan sebanyak dua kali.

“Saya akan arah pula peguam saya buat rayuan pencelahan di mahkamah mungkin untuk minta tambah daripada RM120,000 kepada RM240,000,” katanya yang dipetik oleh Sinar Harian, hari ini.

Bekas ahli Parlimen Pokok Sena itu mendakwa sehingga kini Sanusi belum melunaskan tuntutan tersebut walaupun tempoh pembayaran adalah dalam 14 hari daripada tarikh penghakiman Mahkamah Rayuan pada 3 April lalu.

Katanya, jika pemimpin PAS itu mahu menangguhkan pembayaran tersebut, dia perlu berhubung dengan peguam bagi meneruskan hasrat itu.

“Sanusi ketika itu telah minta tangguh sebab mahu buat rayuan ke Mahkamah Rayuan.

“Tiada pindaan dilakukan kecuali satu saja, iaitu denda daripada RM50,000 kepada RM120,000. Tempoh 14 hari masih kekal daripada tarikh penghakiman,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Mahfuz berkata, Sanusi tidak seharusnya menunggu sehingga perintah mahkamah dikeluarkan kerana keputusan telah pun dibuat.

“Bermakna sekiranya nak bayar tak perlu tunggu perintah mahkamah dikeluarkan terhadap beliau, terus bayar sahaja.

“Kecuali mungkin beliau mahu merayu pula ke Mahkamah Persekutuan, yang itu perlu beritahu kepada peguam saya, tiada masalah,” katanya.

Mahfuz memfailkan saman pada 9 Oktober 2019 berdasarkan hantaran oleh Sanusi di akaun Facebook pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan dirinya dengan pembukaan premis judi Sport Toto di Pokok Sena.

Pada November 2021, Mahkamah Tinggi mengekalkan saman itu dan memerintahkan Sanusi membayar ganti rugi. Beliau kemudian memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi tetapi permohonannya telah ditolak.