Kegembiraan menanti kelahiran anak sulung seorang Pos Rider tidak lagi bermakna selepas diberhentikan kerja bersama 23 yang lain

Kegembiraan menanti kelahiran anak sulung seorang Pos Rider tidak lagi bermakna selepas diberhentikan kerja bersama 23 yang lain

Sudahlah menanggung hutang untuk membeli van, isteri pula sarat mengandung anak sulung antara situasi sukar buat seorang Pos Rider, Muhammad Yusuf Ashraf Ali, 25, yang dipecat Pos Malaysia, berkuat kuasa hari ini.

Cerita sukar di tengah-tengah pandemik Covid-19 juga menimpa 22 lagi pekerja Pos Rider Melaka, yang menerima notis pemberhentian perkhidmatan pada malam 21 Jun lalu, sambil mereka merintih kerana bekas majikan gagal memberi notis 14 hari seperti ditetapkan dalam kontrak.

Muhammad Ashraf, berkata kesemua mereka menerima notis sama dan kini hilang punca pendapatan, sambil terpaksa menanggung hutang gara-gara membeli van bersandarkan prospek kerja yang diyakini membawa pulangan ketika berkhidmat bersama Pos Malaysia.

“Dalam surat itu sendiri ada menyebut mengenai tempoh pemberhentian berkuatkuasa iaitu selepas 14 hari notis, namun, kami menerimanya pada 21 Jun dan mempunyai sembilan hari untuk mencari kerja baharu.

“Kami sangat kecewa dengan tindakan Pos Malaysia kerana bukan sahaja membuang kami dengan notis singkat, malah tergamak melakukannya pada waktu kami bergelut untuk teruskan kehidupan selepas terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Yusuf turut meluahkan kebuntuan mencari jalan penyelesaian kerana belum mendapat peluang pekerjaan baharu, malah masih dibebani hutang pinjaman van.

“Ramai yang berani membuat keputusan untuk membeli van dan menanggung hutang kerana yakin dengan peluang diberikan. Tidak sangka sekarang kami dibuang begitu sahaja hanya kerana mereka mendakwa barang semakin susut.

“Saya kini perlu membayar hutang van dan isteri pula tengah sarat mengandung anak sulung kami. Saya minta agar Pos Malaysia pertimbangkan semula keputusan mereka, setidaknya buanglah kami selepas tamat perintah kawalan pergerakan (PKP), boleh kami merantau ke luar mencari rezeki untuk keluarga,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Naim Ghani, 29, turut meluahkan perkara sama dan mendakwa mereka sentiasa menjaga kualiti perkhidmatan dan imej Pos Malaysia dengan memastikan syarikat penghantaran berkenaan kekal relevan.

“Kami tidak pernah menimbulkan sebarang masalah, malah, sentiasa menjaga kualiti perkhidmatan Pos Rider dan imej Pos Malaysia.

“Justeru, kami berharap sangat agar Pos Malaysia mengambil kira semua aspek termasuk kesetiaan ditunjukkan kami selama ini,” katanya.

Sumber – FMT