Kegembiraan Syawal berakhir tragedi, lelaki maut ditikam rakan serumah

Kegembiraan Syawal berakhir tragedi, lelaki maut ditikam rakan serumah

Seorang lelaki warganegara Bangladesh maut dibunuh rakan senegara dalam pergaduhan di atas bumbung sebuah bangunan kedai, di Sitiawan, Perak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.07 pagi.

Menurutnya, mangsa berusia 39 tahun itu bekerja sebagai operator di sebuah kilang dan suspek berusia 26 tahun juga operator di kilang sama.

“Mangsa dan suspek tinggal di rumah yang sama bersama tujuh lagi lelaki warga Bangladesh. Dua lelaki itu dipercayai naik ke atas bumbung untuk berbual, manakala yang lain tidur di tingkat bawah.

“Pada jam lebih kurang 3 pagi, seorang rakan serumah mangsa terdengar bunyi bising dari tingkat atas bumbung seperti orang meminta tolong lalu dia mengejutkan rakannya yang lain dan terus pergi ke tingkat atas,” katanya memetik laporan BH.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, mereka melihat mangsa sudah terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar pendek serta berlumuran darah.

“Siasatan awal mendapati ada lima kesan tikaman di badan mangsa dan tiada sebarang senjata dijumpai di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun punca dan motif kejadian masih dalam siasatan. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk bedah siasat,” katanya.

Nor Omar berkata, suspek utama melarikan diri, manakala tujuh lelaki warga Bangladesh ditahan untuk membantu siasatan.

“Mereka reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.