Kejadian buli misteri, kenyataan berbeza MRSM Kuantan dan Menteri undang lebih banyak persoalan

Kejadian buli misteri, kenyataan berbeza MRSM Kuantan dan Menteri undang lebih banyak persoalan

Kejadian misteri buli yang tular beberapa minggu ini nampaknya masih belum selesai sepenuhnya.

Sekalipun pihak polis telah dalam kenyataan rasminya sebelum ini menganggap siasatan kes tersebut telah selesai, namun timbul persoalan baru mengenai isu tersebut selepas tersiarnya kenyataan terbaru Timbalan Menteri yang menguruskan portfolio MARA siang tadi.

Memetik laporan Berita Harian, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan didakwa telah pun mengambil tindakan disiplin dan memindahkan beberapa pelajarnya yang dilaporkan membuli seorang pelajar perempuan maktab itu, baru-baru ini.

Ianya disahkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah, yang berkata tindakan itu dibuat tanpa didedahkan kepada umum bagi memastikan MRSM terus menjadi pusat pembelajaran yang kondusif dan selamat.

“Walaupun kes itu terpencil, MARA tidak berdiam diri dan tindakan sudah diambil dengan memindahkan pelajar yang membuli ke tempat lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Amanah Rakyat (MARA), di sini, hari ini.

Namun kenyataan beliau didakwa bercanggah dengan kenyataan rasmi yang dimuatnaik di laman FB rasmi MRSM Kuantan.

Menurut Adham Hatta, pegawai Bahagian Korporat Rasmi Bahagian MARA, kandungan kenyataan yang dijawab Timbalan Menteri mengenai kejadian tersebut didakwanya telah tersalah petik.

Dia turut membetulkan laporan media yang telah disiarkan, dengan menafikan wujudnya kejadian gengsterisma atau buli di premis sekolah tersebut seperti dilapor.

Malah lebih mengejutkan, dia mengaku kes tersebut masih di dalam siasatan polis, sementara pelajar yang mendakwa dibuli itu telah pun dibawa pulang oleh ibu-bapanya.

Sementara itu,pengguna media sosial menganggap percanggahan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri dan MESM Kuantan adalah satu perkara yang sangat memalukan.

Malah dakwa mereka, seolah-olah pihak kementerian gagal mendapatkan maklumat yang tepat sebelum menjawab soalan sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan pengamal media.

Sehingga kini, akhbar Harian Metro dikesan telah menurunkan kandungan berita tersebut daripada portal dalam talian.