Kejam!!! Hanya kerana lewat masak rendang, isteri ditampar dan diludah muka oleh suami

Kejam!!! Hanya kerana lewat masak rendang, isteri ditampar dan diludah muka oleh suami

Gara-gara lambat memasak rendang ayam, seorang wanita ditampar di pipi oleh suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Pinang, Kampung Melayu di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 10.30 pagi di rumah pasangan suami isteri tersebut melibatkan mangsa yang juga suri rumah berumur 66 tahun manakala suspek merupakan suami mangsa berumur 67 tahun yang juga seorang pesara.

“Siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran di antara mangsa dan suspek berpunca daripada mangsa yang lambat memasak rendang ayam.

“Semasa pertengkaran, mangsa telah ditampar di pipi dan pertengkaran berlaku hingga ke dalam bilik tidur,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, suspek kemudiannya bertindak duduk di atas badan mangsa sebelum meludah muka mangsa

“Suspek kemudiannya mahu mencekik mangsa tetapi mangsa telah melawan dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan kedua-dua jatuh daripada katil.

“Akibat dari kejadian tersebut mangsa sakit pada badan dan terdapat lebam pada dagu sebelah kanan tetapi mangsa tidak pasti punca lebam tersebut,” katanya.

Menurutnya, suspek menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis yang memerlukan suntikan insulin empat kali sehari.

“Mangsa tinggal bersama suspek dan juga ibu suspek yang lumpuh berusia 86 tahun di rumah yang sama.

“Pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya. – SH