Kejam! Pasangan kekasih di Johor bunuh kanak-kanak 4 tahun

Kejam! Pasangan kekasih di Johor bunuh kanak-kanak 4 tahun

 

Sepasang kekasih berusia 25 dan 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.

Kejadian tersebut berlaku di sebuah rumah di Felda Semenchu, Teluk Sengat, Kota Tinggi pada Disember tahun lalu.

Hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan

Tertuduh, Mohamad Izwan Mahmood dan kekasihnya seorang remaja perempuan berusia 16 tahun hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.

Mengikut kertas pertuduhan, pasangan terbabit secara bersama dengan niat telah membunuh seorang kanak-kanak lelaki.

Perbuatan itu dilakukan pada 10 Disember sehingga 23 Disember lalu antara pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang.

Didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan

Susulan itu, pasangan kekasih itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu di mahkamah yang sama, kakak kandung kepada kanak-kanak itu pula iaitu Nurul Natashah Daniel@Zainal, 20, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mendera adiknya itu di Jalan Kampung Sri Pantai, Senggarang sekitar November sehingga Disember tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, remaja terbabit yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak itu telah didakwa menganiaya mangsa sehingga mendatangkan kecederaan fizikal.

Kakak kandung didakwa mengikut Seksyen 31(1)(1) Akta Kanak-Kanak 2001

Oleh yang demikian, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan meninggal dunia pada 26 Disember lalu selepas empat hari menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI).

Mangsa sebelum itu pengsan di rumah rakan kakak kandungnya di Senggarang, Batu Pahat.