Kejam!!! Remaja 15 tahun tikam mati bayi luar nikah yang baru dilahirkannya

Kejam!!! Remaja 15 tahun tikam mati bayi luar nikah yang baru dilahirkannya

Seorang remaja tergamak menikam mati bayi yang baru dilahirkannya dalam satu kejadian di sebuah rumah di daerah Kemaman, Terengganu pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, bayi lelaki yang cukup sifat tersebut dipercayai ditikam di bahagian kiri dada dengan objek tajam.

Dalam laporan yang dikongsikan Mstar hari ini, ahli keluarga suspek tiada di rumah ketika kejadian berlaku dan ibu berusia 15 tahun itu meminta bantuan rakannya untuk menghubungi petugas kesihatan bagi memaklumkan kelahiran bayi tersebut.

“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dibuat, petugas kesihatan mendapati bayi berkenaan sudah tidak bernyawa dan terdapat kesan luka di dada, dipercayai akibat ditikam,” katanya pada Selasa.

Hanyan berkata, curiga dengan keadaan bayi tersebut, petugas kesihatan kemudian membuat laporan polis kira-kira jam 10 pagi dan suspek yang belum berkahwin ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu polis telah mengenalpasti seorang lelaki yang dipercayai merogol remaja berkenaan.

“Mayat bayi malang ini telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut termasuk melihat kecederaan lain yang dialaminya.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 dan 376 Kanun Keseksaan,” katanya.