Kejam!!! Sekeluarga bergelap, bekalan letrik dipotong sewaktu PKP di Kelantan

Kejam!!! Sekeluarga bergelap, bekalan letrik dipotong sewaktu PKP di Kelantan

Lima tahun tiada bekalan elektrik langsung, manakala lima tahun kebelakangan menggunakan bekalan elektrik disambung dari rumah sepupu untuk kegunaan pada waktu malam sahaja.

Demikian nasib dialami tujuh beranak yang tinggal di Kampung Pangkal Ketereh, di sini.

Sebelum ini, Mohd Asrul Husin, 43 dan isteri, Rozila Mohd Arifin, 34, bersama lima anak mereka hanya bertemankan cahaya lilin dan pelita pada waktu malam sebelum berkongsi bekalan elektrik dari rumah sepupunya yang terletak di belakang rumah mereka.

Mohd Asrul berkata, mereka hidup bergelap sejak sekian lama disebabkan tidak mampu membayar tunggakan bil elektrik yang mencecah RM2,300 menyebabkan bekalan di rumahnya dihentikan.

“Saya bekerja sebagai tukang rumah dengan gaji tidak seberapa yang cukup untuk makan kami tujuh beranak, manalah mampu menjelaskan bil mencecah ribuan ringgit itu.

“Selepas lima tahun hidup bergelap dan hanya diterangi pelita, sepupu yang bersimpati membenarkan kami berkongsi bekalan elektrik yang disambung dari rumahnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Mohd Asrul berkata, sepupunya tidak meminta bayaran kerana memahami keadaan mereka sekeluarga, namun jika ada wang lebih, dia akan membayar mengikut kemampuan.

Menurutnya, penggunaan elektrik dikongsi itu dibuat seminimum mungkin dan hanya digunakan pada waktu malam membabitkan lampu serta kipas.

Ruang dalam rumahnya kelihatan kosong tanpa sebarang peralatan elektrik kecuali kipas berdiri sahaja dan sebaik ditanya, Mohd Asrul berkata, tiada keperluan untuknya membeli kelengkapan lain termasuk televisyen kerana bimbang tidak mampu membayar bil elektrik nanti.

“Pada waktu siang, kami tak gunakan elektrik kerana ingin berjimat dan enggan menyusahkan sepupu jika bil elektrik mereka melambung.

“Hidup saya dan isteri serta lima anak berusia tiga hingga 13 tahun hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sahaja.

“Pada ketika ini, kerja tidak menentu dan kami memang tidak mampu menyediakan sejumlah wang untuk membayar tunggakan berkenaan,” katanya.

Terdahulu mereka menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Che Norhayati Mohamed yang akan cuba membantu keluarga Mohd Asrul menjelaskan tunggakan bil bagi memberi keselesaan kepada tujuh beranak itu.

Che Norhayati mengalu-alukan orang ramai ingin membantu keluarga itu sama ada daripada segi kewangan atau sumbangan barangan menerusi akaun Bank Islam di bawah Cempaka Merah Asnaf Society iaitu 03072010137874. – HM