Kelas tiba-tiba jadi kecoh, pelajar terberanak semasa jawab peperiksaan

Kelas tiba-tiba jadi kecoh, pelajar terberanak semasa jawab peperiksaan

 

SEORANG pelajar sekolah menengah melahirkan bayi ketika sedang menduduki peperiksaan dalam kejadian pada Khamis.

Bagaimanapun, guru yang mengawasi peperiksaan, Muhammad Nurchalid, menjelaskan tiada sebarang tanda yang mencurigakan sebelum ujian itu bermula.

Memetik laporan Kompas, guru itu memaklumkan pelajar terbabit langsung tidak kelihatan panik atau mencurigakan ketika masuk ke bilik peperiksaan di sebuah sekolah di daerah Sampang, Madura, Indonesia.

“Saya menjaga peperiksaan pada jam kedua, suasana dalam bilik peperiksaan ketika itu juga normal,” kata Nurchalid dalam satu temu ramah pada Jumaat.

Namun, beberapa minit kemudian kelas yang pada asalnya sunyi menjadi kecoh.

Bagaimanapun, Nurchalid berjaya menenangkan situasi selepas dia meminta pelajar memberi tumpuan kepada peperiksaan.

Menurut Nurchalid, dia terdengar suara bayi dan membuat pemeriksaan sebelum mendapati seorang daripada pelajarnya melahirkan anak.

Susulan kejadian, pelajar lain diarahkan keluar dari kelas.

“Pelajar terbabit pula dilihat duduk sambil memegang bayinya,” katanya.

Nurchalidad yang melihat darah di atas lantai kemudian menghubungi seorang guru perempuan untuk membantu pelajar berkenaan.

“Kebetulan seorang guru mengenali pegawai di Pusat Kesihatan Komuning dan pelajar berkenaan dibawa ke pusat kesihatan itu dengan ambulans.

“Setibanya di pusat kesihatan, bayi berkenaan disahkan berada dalam keadaan sihat dan dibawa pulang oleh keluarga pelajar terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, pelajar itu dirujuk ke Hospital Wilayah Dr Mohammad Zyn kerana keadaannya membimbangkan.

Terbaharu pelajar yang telah mendapatkan rawatan itu dikatakan semakin bertambah baik.