Keluarga atau tidak, S Atan tetap kenakan caj RM15,000 untuk buat lagu & lirik

Keluarga atau tidak, S Atan tetap kenakan caj RM15,000 untuk buat lagu & lirik

 

Terkenal kerana lagu rayanya yang sentiasa mendapat tempat di hati orang ramai, komposer legenda Datuk S Atan tidak menolak untuk cipta lagu dan tulis lirik.

Namun semua itu datang dengan harga RM15,500, baik untuk orang lain atau ahli keluarga sendiri.

Itulah kejadian dengan penyanyi Datin Alyah yang merupakan isteri kepada anak saudaranya Datuk Ramli MS.

Menurut Harian Metro, S Atan memaklumkan Alyah akur dengan harga tersebut malah perlu membuat bayaran penuh dan bukan secara ansur-ansur.

“Memang tiada tolak ansur dalam perkara ini kerana ia dah termaktub dalam syarat ditetapkan.

“Saya cipta lagu berjudul Joget Celoteh Raya nyanyian Alyah berduet dengan Datuk Azizul Khamis dan dia akur dengan harga ini.

“Kos ini dikenakan untuk pelbagai perkara merangkumi kerja-kerja studio. Semua yang terbabit perlu dibayar sebaik kerja selesai. Itu yang saya tekankan.

“Bayaran pula kena sepenuhnya kerana saya tak suka dibayar ansur-ansur. Ini kerana semua yang terbabit dalam lagu ini mahukan bayaran penuh sebaik rakaman dibuat,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Royalti lagu semakin merosot

Dalam pada itu, S Atan turut meluahkan kekecewaan apabila royalti lagu semakin merosot malah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia dilihat turun mendadak.

“Jamal dah pernah tapi dia minta satu lagi lagu raya. Katanya tahun ini keluar. Bagaimanapun saya agak kecewa kerana pendapatan royalti lagu semakin merosot dari setahun ke setahun.

“Biasanya dulu pernah cecah RM80,000 setahun, tapi lepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) hanya dapat RM30,000. Mana cukup untuk tampung hidup,” katanya.

Sepanjang kerjayanya, S Atan dikenali sebagai bapa lagu-lagu raya kerana sudah mencipta 56 lagu raya sejak tahun 1976.