Kembalikan keyakinan rakyat terhadap kekuatan pembangkang, gesa pemuda Amanah

Kembalikan keyakinan rakyat terhadap kekuatan pembangkang, gesa pemuda Amanah

Kami menyeru kesemua fraksi opposisi daripada Amanah, PKR dan DAP (yang membentuk Pakatan Harapan) bersama Warisan, Upko, PSB, Muda dan Pejuang untuk kembali ke meja rundingan

Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin menggesa semua parti pembangkang untuk mengadakan perbincangan dan menyelesaikan syarat untuk kerjasama baru mereka.

Ini selepas belanjawan 11 kementerian kerajaan Perikatan Nasional (PN) lulus di Dewan Rakyat semasa peringkat jawatankuasa melalui undian suara atau suara blok setakat hari ini.

“Kegagalan pembangkang dalam menolak belanjawan di peringkat jawatankuasa memberikan petunjuk bahawa segala yang pernah dikatakan sebelum langsung tidak menjadi kenyataan.

“Setakat hari ini, belum ada lagi mana-mana peruntukan kementerian yang mampu ditolak di peringkat jawatankuasa.

“Bahkan pada setiap sesi undi belah bahagi, Pakatan Harapan dan pembangkang lainnya hanya mencapai lingkungan angka antara 95 ke 97 sahaja,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, sungguhpun kegagalan ini memedihkan ketika rakyat umumnya meletakkan harapan besar agar belanjawan ini ditolak namun pihaknya optimis momentum dan kekuatan bary dapat dibangunkan semula.

“Apabila semua parti pembangkang fokus dengan usaha mengalahkan kerajaan Perikatan Nasional, yang jelas tidak mampu mengeluarkan rakyat daripada belenggu keperitan hidup akibat pandemik.

“Atas maksud demikian, kami menyeru kesemua fraksi opposisi daripada Amanah, PKR dan DAP (yang membentuk Pakatan Harapan) bersama Warisan, Upko, PSB, Muda dan Pejuang untuk kembali ke meja rundingan serta berbincang garis dan terma kerjasama baru, sekaligus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kekuatan sebenar parti-parti pembangkang,” katanya lagi.

Pembangkang tidak dilihat bersatu dalam pendirian mereka mengenai Belanjawan 2021. Pada 26 Nov, Pakatan Harapan gagal dalam usaha pengundian belah bahagi mereka sehingga Belanjawan 2021 lulus semasa peringkat dasar melalui undian suara.

Mulai minggu ini, kerajaan meminta ahli parlimen untuk meluluskan bajet untuk semua kementerian dan sejauh ini telah meluluskan peruntukan untuk 11 kementerian.

Ahli parlimen Warisan tidak hadir dalam proses pengundian untuk menunjukkan kekecewaan mereka terhadap pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim yang gagal mendorong pengundian belah bahagi semasa peringkat dasar pada hari Khamis lalu.

PH dan sekutunya terlibat dalam pergolakan kepemimpinan sejak pentadbirannya runtuh pada Februari lalu.

PKR bertegas presidennya tetap menjadi calon perdana menteri PH manakala Warisan sebelum ini menyokong Dr Mahathir Mohamad.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/553701