Kemelut pengganti Zuraida, DAP cadang dipangku Ismail elak konflik lebih parah

Kemelut pengganti Zuraida, DAP cadang dipangku Ismail elak konflik lebih parah

MP Dap, Steven Sim hari ini tampil dengan cadangan terhadap pelantikan seorang menteri baharu bagi menggantikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang mengumumkan perletakan jawatannya baru- baru ini.

Menteri terbabit, Zuraida Kamaruddin berbuat demikian selepas mengambil tindakan keluar daripada parti Bersatu bagi menyertai parti baharu ditubuhkan kalangan ahli PKR pro Azmin Ali, Parti Bangsa Malaysia (PBM)

Menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang baru memegang jawatan Setiausaha Organisasi Kebangsaan Dap itu, tiada keperluan bagi Ismail Sabri mencari pengganti Zuraida.

Sebaliknya dia mencadangkan agar PM sendiri yang memangku Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi tanpa gaji tambahan hingga hujung penggal.

Dalam hantarannya melalui FB miliknya, dia memberikan 5 sebab kenapa PM perlu berbuat demikian:

1) Kurangkan sikit saiz kabinet gergasi – dah ada 68 Menteri/Timbalan Menteri dengan 4 Menteri Kanan, tak masuk lagi Duta-duta bertaraf Menteri, Duta-duta Besar lantikan kalangan Ahli Parlimen kerajaan, Penasihat-penasihat PM. Kementerian Zuraida sendiri ada 2 Timbalan Menteri. Semuanya orang politik bergaji besar. Kerja jalan tak jalan, biar rakyat yang menilai.

2) Jimat wang rakyat – nanti Menteri baru kena bayar gaji, elaun, percutian, penggajian team baru, buat majlis, keraian, program. Nanti kalau dia nak tukar kereta rasmi, renovate ofis, buat tandas emas pula, aduh. Sesak nafas rakyat. Cukuplah!

3) Beri kestabilan dan kekuatan kepada kementerian – kementerian dah tukar 3 orang Menteri sejak 2018, slogan berubah-ubah, dasar berubah-ubah, organisasi berubah-ubah. Staff kementerian dan pihak industri pun dah letih nak kejar Menteri baru. Dua Menteri PAS dan PPBM sebelum ni pun gagal buat kerja. Sekarang, biar PM yang mengetuai strategi pemulihan sektor perladangan.

4) Hentikan perebutan kuasa antara BN-PN – PM tak payah sakitkan hati mana-mana parti komponen kerajaan yang tengah berebut-rebut kerusi Menteri. Semua tak dapat, biar PM sendiri yang jaga dengan 2 orang Timbalan Menteri yang sedia ada.

5) Penggal Parlimen pun tinggal setahun je – Menteri baru nak biasakan diri, nak set up team akan amik masa. Silap haribulan, kerja tak sempat bua,t jawatan ini jadi sekadar jawatan honeymoon, dapat pencen, dapat tiket percutian percuma untuk Menteri pi London.

Sambil memberikan jaminan sokongan daripada blok partinya, dia turut mengharapkan keberanian Ismail Sabri dalam menghentikan pergolakan dalaman yang dilihat semakin parah antara sesama parti yang memerintah kerajaan ketika ini.