Kemelut politik di Perak selesai!

Kemelut politik di Perak selesai!

UMNO yakin krisis kepimpinan negeri Perak yang tercetus sejak Jumaat lalu akan dapat diselesaikan hari ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata ketika ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang berbincang isu terbabit.

“Pada saat dan ketika ini, Presiden UMNO, Pas dan Bersatu sedang berbincang,…berbincang (bagi) menyelesaikan (kemelut politik di Perak). Saya yakin krisis di Perak selesai hari ini. Hari ini selesai, 99.9 peratus selesai,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan di mana berlangsungnya perbincangan antara tiga pemimpin terbabit.

Krisis kepimpinan Perak masih berlanjutan, kerana belum ada pihak yang mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Ia ekoran kemelut politik yang tercetus apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga ADUN Chenderiang gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat lalu.

Ahmad Faizal kemudiannya mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sehari selepas itu.

Sementara itu, pada sidang akhbar yang sama, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim mendesak kerajaan untuk tidak mempertimbangkan sebarang unsur penjualan aset kerajaan khususnya Tabung Haji Plantation kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd.

“Walaupun kerajaan telah menarik balik keputusan untuk menjual aset tersebut, ia juga menyebutkan bahawa kerajaan akan mengkaji kembali keputusan tersebut.

“Kami tidak mahu kerajaan mengkaji atau mempertimbangkan. Kami mahu kerajaan menarik diri daripada menjual aset tersebut,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Ekonomi) dan Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Hal Ehwal Agama) mengesahkan kerajaan telah menarik balik kelulusan penjualan aset tanah ladang kelapa sawit milik Tabung Haji Plantation Berhad (THP) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd pada Jumaat lalu.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/114002/BERITA/Politik/Ahmad-Maslan-yakin-kemelut-politik-Perak-berakhir-hari-ini