Kemelut rumah tangga, fikiran Syamsul kusut & terganggu

Kemelut rumah tangga, fikiran Syamsul kusut & terganggu

Penerbit Eksekutif Razor Edge Pictures, Datuk Saniboey Mohd. Ismail memberitahu kemelut rumah tangga yang sedang dihadapi oleh pengarah tersohor, Syamsul Yusof sedikit sebanyak menganggu fikiran pengarah itu di set penggambaran.

Fikiran Syamsul terganggu walaupun tak kongsi masalah peribadi

Walaupun Syamsul tidak pernah berkongsi masalah peribadi, namun Saniboey dapat menghidu pengarah berusia 39 tahun itu sedang dalam dilema dan kusut apabila memikirkan kontroversi yang sedang menimpanya.

 

Saniboey dalam pada itu berkata, buat masa ini pemilik nama Mohd Shamsul Mohd Yusof tidak mahu diganggu oleh kerana mahu memberi fokus dengan pembikinan filem The Original Gangster.

Bukan itu sahaja, bapa kepada dua orang cahaya mata itu masih mempunyai banyak lagi baki tugasan di set penggambaran.

“Buat masa ini, apa yang boleh saya katakan, dia tak mahu diganggu di set penggambaran. Rasanya ramai yang tahu, dia kini sedang sibuk.
“Saya tak campur urusan peribadinya tetapi tak dinafikan, memang boleh tahu. Fokusnya sedikit terganggu berikutan isu yang sedang berlaku,”ujarnya.

Dalam pada itu, Saniboey mengakui ‘progress’ di set penggambaran juga terjejas disebabkan oleh kontroversi rumah tangga Syamsul dan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana. Namun, ia tidaklah teruk kerana masih boleh dikawal.

Syamsul sangat semangat, kuat bekerja

Sementara itu, Saniboey memuji sifat Syamsul yang sentiasa kelihatan semangat dan terus bekerja walaupun dihimpit dengan masalah peribadi.

“Satu mengenai Syamsul yang saya kenali, dia ini memiliki semangat yang jitu bila tiba bab kerja. Profesionalisme Syamsul ketika bikin filem memang tak dapat disangkal.
“Itu juga menjadi satu sebab saya kagumi dirinya. Dalam pada sedang dilanda masalah, dia tetap profesional dan cuba siapkan kerja dengan sehabis baik,”katanya.

 

Syamsul tak nak diganggu…

Tambah Saniboey, anak kepada penerbit filem Datuk Yusof Haslam itu tidak mahu diganggu kerna amahu memberi fokus terhadap kerja-kerja di set selepas berkesempatan berbual dengannya kelmarin.

“Kebetulan pula sekarang ini penggambaran pula banyak pada babak-babak yang berat, contohnya macam letupan termasuk perlu beralih kepada tiga lokasi pada hari sama. Semestinya dia mahu fokus terhadap kerja-kerja di set dan tak nak diganggu,”terangnya.

Sekadar info, filem The Original Gangster adalah arahan pertama Syamsul di bawah syarikat produksinya sendiri, Syamsul Yusof Films Sdn. Bhd. bersama Razors Edge Pictures.

Filem itu turut dibarisi pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Beto Kusyairy, Hairul Azreen, Shaheizy Sam dan Soffi Jikan.

Terdahulu, nama Syamsul menjadi panas apabila membuat pengakuan sudah bernikah dengan isteri keduanya, Ira Kazar berwalikan bapa pengantin perempuan di Thailand.

Isu tersebut bertambah panas apabila isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana yang juga seorang aktres tekad memfailkan penceraian pada Isnin lalu.