Kemenangan Daing Muhammad terbatal, Hans Isaac & Altimet peroleh peluang kedua di Ampang

Kemenangan Daing Muhammad terbatal, Hans Isaac & Altimet peroleh peluang kedua di Ampang

Cabang PKR di Ampang akan mengadakan pemilihan semula minggu depan selepas ketua cabang yang menang, Daing Muhammad Reduan Bachok didapati terlibat dalam aktiviti ‘beli undi’.

Menurut The Malaysian Insight, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan dibuat selepas siasatan panel aduan JPP mendapati ada pelanggaran tata etika kempen.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi menyiasat aduan mengenai pelanggaran etika sepanjang tempoh kempen.

“JPP dengan ini mengangkat keputusan panel aduan untuk melucutkan pencalonan saudara bagi jawatan ketua cabang,” katanya dalam sepucuk surat kepada Daing Muhammad, yang dilihat The Malaysian Insight.

Menurutnya Daing didapati melanggar Fasal (D) 7 tata etika pemilihan parti berhubung “perbuatan politik wang (membeli undi)”.

Dalam notis yang dihantar kepada ahli PKR Cabang Ampang, Dr Zaliha Mustafa berkata pemilihan semula akan diadakan pada 29 Jun antara 12 tengah hari hingga 8 malam.

Pemilihan tersebut akan dilakukan di Dewan Datuk Ahmad Razali, Kampung Baru Ampang.

“Sehubungan itu Jawatankuasa Panel Aduan telah membuat keputusan untuk menggugurkan nama calon Daing Muhammad Reduan Bachok sebagai calon ketua cabang di dalam pemilihan semula cabang Ampang,” menurut notis berkenaan.

Dalam pemilihan baru-baru ini Daing menang jawatan cabang Ampang dengan memperoleh 942 undi, sekali gus menewaskan pelakon Hans Isaac (609) dan penyanyi rap Altimet@Syed Ahmad Abdul Rahman (589).

Cabang PKR Ampang dimenangi oleh ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pada 2008, 2013 dan 2018.

Zuraida keluar daripada PKR untuk menyertai Bersatu setelah berlaku krisis politik yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Daing Reduan digantung daripada PKR pada 2020 sementara menunggu keputusan mahkamah Kota Kinabalu berhubung dakwaan menyerang Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pada 2018.

Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu bagaimanapun membebaskannya selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.