Kementerian Luar Negeri akhirnya dedah Sanusi tidak dijemput dalam mesyuarat pre-council, lawatan rasmi ke Sadao

Kementerian Luar Negeri akhirnya dedah Sanusi tidak dijemput dalam mesyuarat pre-council, lawatan rasmi ke Sadao

 

Kementerian Luar Negeri menegaskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak terlibat di dalam mesyuarat pre-council bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Alor Setar, baru-baru ini.

Jelas kementerian itu, surat bertarikh 25 November 2023 daripada KLN kepada Ketua Setiausaha Sulit Muhammad Sanusi dan Menteri Besar Kedah itu hanya dijemput untuk menyertai program lawatan Anwar bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang dijadualkan pada jam 2.15 petang pada 27 November.

Jemputan berdasarkan kesesuaian penglibatan beliau di dalam program berkenaan.

“Menteri Besar Kedah tidak terlibat dalam mesyuarat (pre-council) dan surat berkenaan tidak menyebut tentang mesyuarat ini,” kata KLN dalam kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun jelas kementerian itu, Muhammad Sanusi mengambil keputusan untuk turut hadir ke mesyuarat dan Anwar telah menyediakan kerusi untuk beliau.

Selain itu, Muhammad Sanusi juga tidak terlibat dalam lawatan ke Sadao, Thailand.

“Tetapi bagi memenuhi permintaan beliau di saat akhir, Anwar telah bersetuju mengizinkan beliau menyertai delegasi rasmi,” katanya.

Ketika berucap pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu, Muhammad Sanusi mendakwa wujud permainan ‘Little Napoleon’ yang cuba mengeruhkan hubungannya bersama Anwar.

Dakwanya, beliau hadir atas kapasiti Menteri Besar yang dijemput untuk mengikuti delegasi itu bermula jam 10 pagi hingga 3.40 petang.