Kementerian Pengangkutan umum cukai jalan motosikal elektrik dikekalkan RM2 sahaja untuk enjin berkuasa kecil

Kementerian Pengangkutan umum cukai jalan motosikal elektrik dikekalkan RM2 sahaja untuk enjin berkuasa kecil

 

Hari ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengumumkan kadar baharu untuk cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan elektrik (EV).

Kiraan baharu ini untuk EV ini lebih murah, sehingga 85% lebih rendah dari kiraan sebelum ini. Ia akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026, selepas tamat tempoh pengecualian cukai jalan yang diberikan untuk EV.

Pasti ada yang tertanya-tanya bagaimana pula untuk motosikal elektrik. Menurut MOT, cukai jalan bagi motosikal elektrik tidak berubah.

Paling penting, motosikal berkuasa rendah hanya dikenakan cukai jalan RM2 sahaja. Sama seperti motosikal dengan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mengkelaskan motosikal elektrik dengan kuasa motor elektrik di bawah 7500 W atau 7.5kW sebagai motosikal berkuasa rendah. Pemilik motosikal sebegini hanya membayar cukai jalan sebanyak RM2 sahaja.

Untuk kuasa motor lebih tinggi, ia dikategorikan mengikut beberapa tahap. Bagi 7.5kW hingga 10kW, kadarnya adalah RM9.

Dari 10kW hingga 12.5kW, berharga RM12. Untuk kuasa motor 12.5kW sampai 25kW, ia melonjak kepada RM30. Selepas itu, antara 25kW dan 40kW, ia dikenakan kadar RM40. Kategori terakhir, melebihi 40kW perlu membayar RM42.

  • 7,501W hingga 10,000W – RM9
  • 10,0001W hingga 12,500W – RM12
  • 12,501W hingga 25,000W – RM30
  • 25,0001W hingga 40,000W – RM40
  • Melebihi 40,000W – RM42

Sebagai contoh, motosikal Blueshark R1 dengan motor elektrik 5,000W, hanya perlu bayar cukai jalan RM2. BMW CE 04 yang dilancar pada tahun 2023 dengan kuasa motor 31kW, cukai jalannya RM40.

Bagi BMW CE 02 yang baru dilancar bulan lepas, ia ada kuasa motor 11kW, jadi cukai jalan adalah RM12.

  • Blueshark R1 (5kW) – RM2
  • BMW CE 02 (11kW) – RM12
  • BMW CE 04 (31kW) – RM40
  • RydeEV Ryder (2kW) – RM2
  • RydeEV Hyper (4kW) – RM2

Dalam pengumuman pagi tadi, cukai jalan untuk kenderaan elektrik akan disemak sekurang-kurangnya setiap lima tahun.

Bagi motosikal elektrik, ia tidak disentuh hari ini. Tetapi dijangka, ia mungkin akan disemak dalam jangka waktu yang serupa.